SHAH ALAM: PAS menggesa kerajaan untuk turut memansuhkan tol di beberapa lokasi lain seperti di Gombak dan Karak.
Menyambut baik langkah kerajaan yang memansuhkan tol di empat lokasi
sebagaimana yang diumumkan ketika Bajet 2018 baru-baru ini, Timbalan
Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pemansuhan wajar
dilakukan di dua lokasi berkenaan atas faktor ia sudah terlalu lama
beroperasi.
“Tindakan menghapuskan tol di empat lokasi adalah tindakan yang wajar,
namun beberapa tol yang terlalu lama seperti tol Gombak dan Karak juga
perlu dihapuskan.
“Sebagaimana yang diumumkan bahawa bajet kali ini ialah tawaran
kerajaan bagi menghadapi PRU14. PAS khuatir ia hanyalah ‘umpan’ yang
akan menambah bebanan rakyat sekiranya BN terus kekal memerintah,”
katanya dalam kenyataan.
Selain itu, menurut beliau, negara dijangka tidak berupaya menambah
peruntukan untuk pembangunan di mana ia hanya kekal pada kadar RM46
bilion.
“Sekiranya semua anggaran hasil negara di 2018 sebanyak RM239.9 bilion
digunakan untuk membiayai kos perbelanjaan operasi sebanyak RM234.3
bilion, ini bermakna 88 peratus kos pembangunan (RM40.4 bilion) perlu
ditampung melalui pinjaman.
“Dengan peruntukan hanya 16 peratus untuk pembangunan, maka hasrat
mencapai status negara maju yang digaris dalam Wawasan 2020 akan menjadi
angan-angan yang tidak mungkin menjadi kenyataan
“Dengan komitmen kos operasi setinggi ini, jika BN menang PRU14, kadar
GST dijangka akan terpaksa dinaikkan sekiranya negara memerlukan dana
untuk pembangunan,” katanya.
Mengulas mengenai peruntukan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada kadar
sama, Tuan Ibrahim mendakwa, ia membuktikan pengurusan BN tidak berjaya
menyejahterakan rakyat.
“Sekiranya negara semakin makmur, sepatutnya jumlah keluarga atau
individu yang layak menerima BR1M akan berkurang kerana pendapatan
mereka bertambah.
“Pengekalan peruntukan BR1M menandakan kegagalan kerajaan meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.