KUALA LUMPUR: Mayat yang ditemui pihak berkuasa Iran di kawasan Gunung
Damavand, Iran pada petang Jumaat lepas disahkan pendaki Malaysia, Ramli
Abd Majid yang dilaporkan hilang sejak 20 November 2016.
Wisma Putra dalam kenyataan pada Ahad berkata, Kedutaan Besar Malaysia
di Tehran sedang menghulurkan bantuan untuk membawa pulang jenazah ke
tanah air.
"Kerajaan Malaysia merakamkan setinggi penghargaan kepada pihak
berkuasa Iran di atas usaha mencari dan menyelamat yang telah dilakukan,
serta menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa," menurut
kenyataan itu. Agensi berita Iran, Islamic Republic News Agency (IRNA)
melaporkan sekumpulan pendaki menjumpai satu mayat dipercayai rakyat
Malaysia ketika mereka menuruni gunung itu pada ketinggian 4,300 meter
pada Jumaat lepas.
Laporan itu turut menyebut penemuan mayat berkenaan dimaklumkan kepada
Jabatan Bulan Sabit Merah di bandar raya Amol di Wilayah Utara
Mazandaran yang menghantar pasukan mencari.
Pada November tahun lepas, Ramli yang merupakan ketua jurutera sistem
di Ibu Pejabat Proton Holdings Bhd, Shah Alam, Selangor bersama seorang
lagi pendaki Kelab Jelajah Alpine (KJA) Syed Redzuan Syed Salim Shatri,
50, dilaporkan hilang selepas terpisah daripada anggota kumpulan pendaki
yang lain.
Pada 28 Novmeber 2016, Syed Redzuan ditemukan meninggal dunia di
kawasan Yakhar Glacier dan jenazahnya dibawa pulang ke Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.