KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 27 Oktober ini untuk keputusan
kes seorang penarik kereta yang berdepan pertuduhan membunuh pengasas
Kumpulan Perbankan Arab-Malaysian (AmBank) Hussain Ahmad Najadi dan cuba
membunuh isterinya 4 tahun lepas.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ab Karim Ab Rahman menetapkan tarikh itu
selepas mendengar hujah Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin
dan peguam Datuk Michael K L Chee di akhir kes pembelaan.
Koong Swee Kwan, 48, didakwa membunuh Hussain, 75, di tempat letak
kereta Tokong Cina Kuan Yin di No 4, Lorong Ceylon di sini antara 1.30
tengah hari dan 2.00 petang pada 29 Julai 2013 mengikut Seksyen 302
Kanun Keseksaan, membawa hukuman mati mandatori.
Koong juga berdepan pertuduhan cubaan membunuh Cheong Mei Kuen, 50, di
tempat dan pada masa sama mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan,
membawa hukuman penjara 20 tahun jika sabit kesalahan.
Pada 5 September 2014, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Azman Husin
menjatuhi hukuman gantung sampai mati terhadap Koong atas tuduhan
membunuh Hussain dan hukuman penjara 18 tahun kerana didapati bersalah
cuba membunuh Cheong.
Bagaimanapun pada 14 Disember 2016, panel 5 hakim Mahkamah Persekutuan
yang diketuai Tan Sri Zulkifli Ahmad Makinuddin mengetepikan sabitan dan
hukuman gantung sampai mati terhadap Koong dan memerintahkan kes itu
dibicarakan semula di Mahkamah Tinggi.
Dalam kejadian itu, Hussain maut manakala isterinya cedera parah
setelah ditembak dari jarak dekat di kawasan parkir kereta sejurus
keluar dari tokong berkenaan selepas berunding mengenai urusan
perjanjian tanah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.