Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: Politik Islam tidak seharusnya fokus kepada pilihan raya
umum (PRU) semata-mata, tetapi ia sepatutnya lebih daripada itu.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan perjalanan
politik Islam perlu memasukkan elemen dakwah dalam usaha mendidik
masyarakat dengan tidak mementingkan kuasa politik masing-masing.
Menggariskan tiga 'perjalanan' politik Islam, Hadi berkata, antara
elemen perlu diikuti adalah dengan mewajibkan kepimpinan yang bercirikan
Islam tanpa menentukan siapa yang menjadi Perdana Menteri.
Ini kerana ujarnya, perjuangan politik Islam itu sendiri bukannya mahu
mengangkat mana-mana individu tetapi lebih kepada untuk mendapat
keredaan Allah.
"Perjuangan kita bukan mengangkat orangnya, tetapi dasar dan
matlamatnya untuk mencapai keredaan Allah dan kebahagiaan dunia dan
akhirat. Allah lebih mengenali siapa orangnya sama ada ikhlas atau
tidak, termasuk beriman dan budimannya, kerana orangnya boleh berubah
dan hanyut," katanya dalam satu kenyataan.
Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang itu turut berkata, politik Islam
juga sangat mementingkan konsep keadilan kepada semua manusia tanpa
mengira kaum dan agama.
Justeru katanya, konsep tersebut itu hanya boleh dilaksanakan sekiranya
ia dipegang oleh orang Islam dengan kepimpinan yang beriman dan
berilmu.
PAS sebelum ini berulang kali menegaskan bahawa partinya itu akan terus
menghadapi pilihan raya bersama Gagasan Sejahtera (GAGASAN) selepas
tidak menyertai blok Pakatan Harapan (PH).
Menjelaskan elemen ketiga, Hadi berkata, dengan slogan 'Budaya Politik
Matang dan Sejahtera' yang digunapakai GAGASAN ketika ini, ia mampu
menjauhkan dan membebaskan parti pimpinannya itu daripada budaya politik
fitnah yang berleluasa pada hari ini.
Malah menurutnya, dengan tidak lagi berada di bawah gabungan mana-mana
parti dominan seperti Barisan Nasional (BN) dan PH, PAS kini berhak
untuk menentukan jumlah kerusi yang ingin dipertandingkan bersama
gagasannya.
"Memilih pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS),
mengeluarkan PAS daripada budaya politik fitnah, maki hamun dan
bermusuhan yang sedang melanda semua pihak. Sedikit sebanyaknya
mempengaruhi ahli PAS yang wajib dibebaskan daripadanya.
"Kini PAS bebas menentukan di mana dan berapa jumlah kerusi yang hendak
dipertandingkan bersama gagasannya, tanpa terikat dan diarahkan oleh
pihak lain," ujarnya.
Sementara itu, Hadi turut menegaskan PAS akan menolak mana-mana pihak
yang secara terang menentang Islam namun akan terbuka untuk bekerjasama
dengan sesiapa sahaja yang mahu memperjuangkan Islam bersama partinya
itu.
Menurutnya, kerjasama bukan sahaja pada sebelum dan ketika pilihan
raya, malah katanya kerjasama tersebut termasuklah selepas keputusan
pilihan raya bagi terus memastikan masyarakat di negara ini dipimpin
oleh orang Islam.
"Kerjasama bukan semestinya sebelum pilihan raya, sedang pilihan raya,
termasuk juga selepas keputusan pilihan raya bagi menentukan Islam tetap
memimpin masyarakat majmuk berdasarkan dan berkonsepkan Islam yang
wajib dipertahankan oleh PAS," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.