Rabu, 25 Oktober 2017

Ajal dalam kawah panas ketika jalani ritual keagamaan

ANTARAPOS
 
Post Pic
 
 
JITRA: Seorang lelaki menemui ajal ketika menjalani upacara keagamaan di sebuah tokong, di Kuala Sanglang, di sini, kelmarin, 
 
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, Lim Ba, 65, yang berada di dalam kawah mengandungi air panas, secara tiba-tiba tidak sedarkan diri akibat diserang sakit jantung dan melecur. 
 
Video insiden itu yang kini viral di internet menunjukkan orang ramai yang menghadiri upacara keagamaan itu pada mulanya dikatakan ternampak tudung kawah itu bergoyang lalu membukanya, sebelum mendapati mangsa tidak sedarkan diri. 
 
Anak perempuan sulung mangsa, Lim Wei Ling, 37, berkata, dia dan adiknya menemani bapa mereka ke tokong itu dan mendiang pernah melakukan upacara serupa dengan duduk di dalam kawah berisi air panas dan diserkup dengan tudung kawah.
 
Katanya, bapanya sebelum ini pernah menjalani pembedahan akibat masalah jantung tersumbat pada April lalu dan kelihatan sihat selepas itu.
 
“Malam tadi (kelmarin) pun dia sihat dan tidak menunjukkan tanda sakit sebelum masuk ke dalam kawah berkenaan.
 
“Namun secara tiba-tiba kami rasa seperti ada yang tidak kena sebelum mendapati bapa tidak sedarkan diri.
 
“Ketika itu kami semua panik dan cuba menyelamatkan bapa tetapi dia tidak memberi sebarang tindak balas,” katanya.
 
Berikutan itu, mereka menghubungi Klinik Kesihatan Kuala Sanglang, Perlis untuk mendapatkan bantuan sebelum pembantu perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia.
 
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Mohd Ismail Ibrahim mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.