Sabtu, 28 Oktober 2017

Azmin sindir Najib, Selangor tak serah diri kepada AS

Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terus mempertahankan kunjungannya ke China baru-baru ini sebagai tujuan menarik masuk pelaburan ke Selangor.
 
Membalas sindiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika pembentangan Bajet 2018 semalam, Azmin menambah kunjungannya ke negara ini berbeza dengan lawatan kerajaan ke Amerika Syarikat (AS).
 
"Tidak seperti Najib, beliau ke Rumah Putih,'menyerahkan' dirinya dan mendakwa dirinya membawa duit rakyat untuk melabur di AS. Untuk apa? Sedangkan kita perlu bawa masuk pelaburan ke Malaysia seperti yang kita buat di Selangor.
 
"Sekarang negara-negara Eropah datang ke Selangor, contohnya IKEA dari Sweden dan General Electrics dari AS. Saya tak perlu ke Rumah Putih untuk dapatkan sokongan untuk pilihan raya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Memancing Shah Alam dan Pasar Bungan Shah Alam Tahun 2017 di Taman Tasik Shah Alam, hari ini.
 
Pembentangan Bajet 2018 semalam gamat apabila Najib menyelit sindiran terhadap Azmin berkenaan kunjungannya ke China baru-baru ini.
 
Terlebih dahulu Najib sebelum ini dituduh Pakatan Harapan (PH) cuba menggadaikan aset negara apabila mengadakan kerjasama diplomatik dengan China.
 
Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan pada November 2016 dan Mei 2017 mengadakan lawatan rasmi ke China yang kemudiannya menarik pelaburan lebih RM143 bilion termasuk pembabitan China dalam Bandar Malaysia dan Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) bernilai RM55 bilion.
 
Kunjungan Najib ke AS pada September lalu juga dikritik pembangkang apabila kerajaan bakal melabur antara US$3 bilion dan US$4 bilion menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan membeli pesawat Boeing. 
 
Selepas pemimpin pembangkang mengkritik Najib sebagai cuba menggadai aset negara, Azmin berangkat ke China untuk tujuan menarik pelaburan ke Selangor.
 
Pemerhati politik melihat perkembangan itu sebagai 'meludah ke langit' dan akur keperluan kerajaan menjalinkan hubungan baik dengan China.
 
China kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia dengan 19 peratus jumlah eksport, manakala pelaburan dari China adalah signifikan dalam sektor pembuatan, pembinaan, infrastruktur dan hartanah.
 
Menurut data rasmi negara, pelaburan China dalam sektor pembuatan tempatan dari 2009 hingga 2015 berjumlah RM13.6 bilion dan dijangka mewujudkan 24,786 peluang pekerjaan. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.