Sabtu, 28 Oktober 2017

Azmin saja yang bagus, sinis Umno Selangor

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohamad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hanya mahu 'tunjuk bagus' sehingga sering mengkritik apa sahaja yang dilakukan kerajaan persekutuan Barisan Nasional (BN).
 
Setiausaha Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Johan Aziz berkata sebagaimana Azmin memimpin negeri, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga mempunyai peranan yang lebih besar untuk memajukan Malaysia.
 
"Azmin ni jenis semua orang tak bagus, dia seorang bagus," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.
 
Menyentuh kritikan Azmin terhadap kejayaan Malaysia mengadakan kerjasama diplomatik dan menarik pelaburan dengan China, Johan menegaskan apa yang dilakukan Najib itu bagi memastikan ekonomi negara terus kukuh di samping menawarkan peluang terbaik buat rakyat Malaysia.
 
"Janganlah apabila kerajaan persekutuan buat, dia perlekehkan. Cakap nak jual negara. Tetapi dia pun pergi China juga. Hendak jual Selangor ke?," selar Johan.
 
Pengumuman Najib memansuhkan kutipan tol di Plaza Tol Batu Tiga di Shah Alam dan Plaza Tol Sungai Rasah di Klang semalam juga sekali lagi menarik perhatian Azmin.
 
Azmin mendakwa perkara itu hanya dilakukan kerajaan persekutuan selepas melihat permintaan rakyat di Selangor dikala mereka dihimpit kos sara hidup yang semakin meningkat.
 
Johan yang juga ADUN Semenyih ketika mengulas hal itu menegaskan kerajaan persekutuan mengambil dasar memansuhkan kutipan tol itu kerana yakin pelbagai sektor lain mampu menjana pendapatan negara.
 
"Ini bukan sekali kerajaan tutup tol. Apabila ada keperluan dan dilihat tidak menggugat ekonomi, maka ia ditutup. Jika ikut sejarah mengenai tol, yang buatnya di zaman Tun M, yang menutupnya zaman Najib," ujar Johan.
 
Selain Selangor, Najib juga mengumumkan pemansuhan kutipan tol di Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Lebuhraya Penyuraian Trafik Johor Timur (EDL), Johor.
 
Azmin pada hari ini berkata kerajaan negeri tidak bercadang memansuhkan kutipan tol di lebuh raya di Selangor memandangkan kerajaan negeri hanya mempunya pegangan saham minoriti di dalam syarikat konsesi.
 
Johan dalam pada itu mengingatkan Azmin tidak terus mendabik dada mengatakan kejayaan dan kemajuan di Selangor pada hari ini adalah hasil usaha Pakatan Rakyat (PR) dan Pakatan Harapan (PH) semata-mata.
 
Sedangkan ujarnya, gabungan tersebut hanya meneruskan legasi yang ditinggalkan BN, setelah mereka kalah dalam pilihan raya.
 
"Selangor sudah maju sejak 2005, jangan lupa. Sembilan tahun ini sahaja baru berkhidmat. Apa yang terserlahnya?
 
"PRU pada 2008 BN kalah, tetapi sejak 2005 kita dah majukan Selangor dan diiktiraf negeri maju. Maka kita hendak lihat sama ada dia boleh uruskan negeri maju ini?," ujar Johan lagi.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.