Ahad, 22 Oktober 2017

Amalan 'kerusi tradisi' tidak lagi sesuai dalam BN - Penganalisis Politik

Oleh Afiqah Mat Rozi
Post Pic


SHAH ALAM: Parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu bersedia berkompromi dalam soal agihan kerusi  bagi mengekalkan kemenangan dua pertiga gabungan itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang. 

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Jeniri Amir berpandangan, tidak ada gunanya untuk berebut kerusi sekiranya ia gagal dipertahankan kelak, yang akhirnya hanya akan merugikan gabungan itu.

Ujar Jeniri, strategi yang pernah diamalkan sebelum ini dengan menyerahkan kerusi kepada parti tertentu atas dasar kerusi tradisi, sudah tidak lagi sesuai.

“Saranan yang dikemukan Pengerusi BN itu, harus dipertimbangkan dengan wajar dan waras oleh pimpinan parti. Pemimpin parti komponen harus punya keupayaan untuk bersedia menerima saranan itu dgn membuka pintu hati mereka," katanya kepada Antarapos.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak ketika Taklimat Pemukiman Jentera BN semalam mengingatkan parti-parti komponen gabungan itu untuk bersikap toleransi dalam soal pembahagian kerusi pilihan raya.

Peringatan itu disuarakan supaya gabungan parti-parti kerajaan itu mengekalkan kemenangannya pada PRU14 akan datang.

Dalam pada itu tambah Jeniri, sebagaimana yang ditekankan oleh Najib, parti-parti komponen harus belajar daripada apa yang berlaku di Sabah dan Sarawak.

“Di Sarawak khususnya, soal pertukaran sedemikian adalah sesuatu yang biasa dan itu boleh dikatakan antara resepi, formula kejayaan BN di Sarawak.

“Saranan ini mungkin saja tidak begitu disenangi oleh peringkat akar umbi dan para penyokong parti, tapi menjadi tanggungjawab pemimpin parti komponen untuk menjelaskannya kepada pihak akar umbi,” katanya lagi.

Sebelum ini wujud pertikaian berhubung kerusi Parlimen Cameron Highland milik tradisi MIC, dengan  Parti Progresif Penduduk (MyPPP) selepas Presidennya, Tan Sri M. Kayveas menyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi berkenaan.

MIC bagaimanapun enggan menyerahkan kerusi itu dan tetap mahu meletakkan calon pada PRU14.
Kerusi Parlimen Cameron Highland kini disandang Datuk Seri G. Palanivel yang juga bekas Presiden MIC.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.