MELAKA: Seramai 21 penduduk dan tiga anggota bomba terpaksa dikejarkan
ke Hospital Melaka selepas mengalami sesak nafas dipercayai akibat
terhidu gas klorin di Kampung Tambak Paya, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, lebih 250 penduduk di
kawasan berkenaan diarah mengosongkan kediaman masing-masing oleh pihak
bomba atas faktor keselamatan.
Difahamkan, kejadian itu mempunyai kaitan dengan penemuan tujuh tong
mengandungi bahan kimia yang dibuang berhampiran kawasan perumahan
terbabit.
Timbalan Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat (Operasi) negeri,
Kamarulzaman Mohd Din, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 5.51
petang.
Sepasukan 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil dan Alor Gajah dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Sejurus tiba di lokasi kejadian pada jam 6.01 petang, pihak bomba
mendapati ada bau yang masih belum dikenal pasti, namun ia memedihkan
mata dan tekak.
"Semua penduduk di kawasan berhampiran diarah mengosongkan rumah dan
kerja pembersihan serta menyahcemar bahan kimia dilakukan," katanya
ketika ditemui di lokasi kejadian.
Tinjauan BH di lokasi kejadian setakat jam 10 malam tadi mendapati operasi pembersihan masih dijalankan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.