Oleh Shuhaniza Said
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar meminta
kerajaan memperincikan nilai sebenar perbelanjaan yang digunakan untuk
Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri yang diadakan pada 25 Jun lalu.
Wakil rakyat PAS itu berkata, jawapan bertulis oleh Menteri di Jabatan
Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said terhadap pertanyaan yang
dibangkitkannya itu tidak dijawab dengan jelas, sekaligus mengundang
pertanyaan sama ada kerajaan mahu menyembunyikannya daripada pengetahuan
rakyat.
"Semua orang tahu bahawa ada peruntukan untuk perdana menteri dan
menteri kabinet untuk mendapat sejumlah peruntukan untuk keraian kepada
tetamu tertentu.
"Saya faham itu semua, sebab itu yang saya minta penjelasan ialah
berapa Ringgit Malaysia (RM), kenapa kerajaan tak boleh berikan jawapan
dalam nilai Ringgit Malaysia. Apa yang perlu disembunyikan daripada
pengetahuan rakyat," katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat hari
ini.
Terdahulu, dalam pertanyaan lisannya, Mahfuz meminta kerajaan
menyatakan berapakah jumlah Ringgit Malaysia (RM) perbelanjaan rumah
terbuka Aidilfitri Perdana Menteri bersama anggota kabinet di Putrajaya
pada 1 Syawal lalu.
Menerusi jawapan bertulis yang diberikan Azalina, ia menyebut bahawa
majlis berkenaan merupakan acara rasmi kerajaan dan mengguna pakai
kelayakan keraian meraikan tetamu Perdana Menteri sebagaimana yang telah
diperuntukkan di dalam Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980.
Ia turut menyebut, keseluruhan perbelanjaan telah diluluskan oleh
Kementerian Kewangan pada 16 Jun 2017 serta dikendalikan secara
sederhana mengikut Pekeliling Perbendaharaan Malaysia - Garis Panduan
Langkah-langkah Mengoptimumkan Perbelanjaan Kerajaan.
"Walaupun itu diberi melalui akta saraan, tapi saya fikir seharusnya
kerajaan boleh mempertimbangkan apakah ia merupakan satu keperluan atau
tidak.
"Kalau dikata bahawa diluluskan kementerian kewangan, itu saya setuju.
Dan yang dikendalikan secara sederhana, itu yang saya nak tahu secara
sederhana itu berapa nilai Ringgit Malaysia," kata bekas naib presiden
PAS itu lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.