Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Mantan pemimpin PKR, Datuk Mohd Ezam Mohd Nor mendakwa
terdapat sebuah parti dalam Pakatan Harapan (PH) yang angkuh apabila
acap kali memberi kata dua kepada gabungan itu jika tidak sealiran
mengenai sesuatu perkara.
Sehubungan itu, Ezam yang juga bekas Ketua AMK itu menasihati PKR agar
memainkan peranan dengan 'memadamkan' sifat keangkuhan pada parti
tersebut.
Beliau bagaimanapun tidak menamakan secara spesifik parti yang dimaksudkannya itu.
"PKR tiang seri PH. PH harus terus berdasarkan ciri lapang dada, berjiwa besar sesama kawan.
"Keangkuhan, memberi kata dua dan mencabar sesama kawan dan bekas kawan
seangkatan bukan asas sebuah harapan. Ia asas sebuah kepunahan,"
katanya dalam satu kenyataan.
Ezam menambah, kejayaan awal perjuangan PKR adalah disebabkan sifat
Umno-Barisan Nasional (BN) yang terlalu angkuh dan terlalu yakin
memenangi pilihan raya umum.
Umno-BN hilang majoriti dua pertiga pada dua pilihan raya umum iaitu
pada 1999 dan 2008 apabila berlaku peralihan undi Melayu kepada
pembangkang.
"Mereka tumbang kerana keangkuhan. Maka berhati-hatilah. Jangan sampai
ada ciri keangkuhan yang dipamerkan kepada rakyat," katanya.
"PKR dan tokoh besarnya hari ini adalah harapan rakyat. Tetapi jangan
sekali-kali ambil enteng harapan dan dokongan rakyat ini. Maka
berhati-hatilah dengan setiap tindak-tanduk yang dipertontonkan kepada
rakyat.
"Berhujah dan mencabar secara terbuka boleh dilihat sebagai ciri
kebebasan dan demokratik. Tetapi ingat pada sisi lain ia boleh dilihat
sebagai lambang keangkuhan kerana terlalu yakin rakyat akan tetap sokong
dan makanya mampu berbalah secara terbuka dihadapan rakyat," kata Ezam
yang kini merupakan Pengerusi NGO Hisbah Center for Reform.
Pertelingkahan dalam PKR semakin ketara selepas tahaluf siyasi dengan PAS terputus secara rasmi Mei lalu.
Susulan itu, ia menyebabkan berlakunya krisis lantikan politik dalam
kerajaan negeri Kelantan, apabila biro politik PKR mengarahkan semua
wakil partinya di negeri itu meletakkan jawatan.
Bagaimanapun PKR pada awal bulan ini memutuskan untuk mengekalkan lantikan politiknya di negeri itu.
Lebih mengejutkan apabila mesyuarat presiden Majlis Presiden Pakatan
Harapan (PH) pada tengah malam Isnin lalu memutuskan gabungan itu tidak
akan menjalinkan kerjasama dengan PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-14
(PRU14) akan datang.
Keputusan itu sekaligus mengundang kejutan kerana ia dimuktamadkan
dikala kalangan pemimpin PKR sedang berdebat mengenai rundingan bersama
PAS, sehingga mewujudkan dua kumpulan yang bertentangan pendapat di
dalam parti tersebut.
Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mendedahkan, PKR kini terbahagi kepada
dua kumpulan iaitu yang pertama berpendirian keutamaan parti adalah
mengekalkan tampuk pemerintahan di Selangor meskipun perlu berunding dan
bekerjasama dengan PAS.
Manakala kumpulan kedua pula bertegas mahu PKR komited bersama DAP,
Amanah dan PPBM sahaja dalam Pakatan Harapan (PH) menghadapi PRU14.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.