Rabu, 26 Julai 2017

Zaid ramal sukar untuk mendaftarkan HARAPAN




Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim percaya Pakatan Harapan akan berdepan kesukaran untuk didaftarkan sebagai gabungan politik dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

"Secara peribadi, saya fikir ini mungkin sukar, kerana perkara terakhir yang mahu dihadapi oleh kerajaan adalah barisan (pembangkang) yang bersatu.

"Jadi, semua usaha mereka memecahkan pembangkang akan menjadi sia-sia jika gabungan itu didaftarkan," kata Zaid kepada Malaysiakini hari ini.

Zaid, sebelum ini diamanah untuk mendaftarkan Pakatan Rakyat tetapi gagal berbuat demikian.
Bagaimanapun, katanya, situasi hari ini agak berbeza.

"Jadi, mungkin mereka akan lebih bernasib baik. Kita berharap, semoga, mereka akan berjaya kali ini," katanya, sambil menambah bahawa kejayaan mendaftarkan HARAPAN akan menjadi "satu kejutan yang sangat menyenangkan" baginya.

Zaid, yang kini adalah anggota DAP, percaya bahawa penghalang untuk mendaftarkan HARAPAN adalah tidak lain daripada tekanan politik.

"Tidak ada halangan di negara ini jika seseorang bersedia untuk bertindak secara profesional dan mengikut lunas undang-undang.

"Kesulitan itu timbul apabila seseorang itu tidak bersedia melakukan tugas mereka dan dipengaruhi oleh politik, jika tidak ada tekanan atau pengaruh yang tidak sewajarnya, maka kakitangan awam dapat melaksanakan tugas mereka dengan lebih baik," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.