KUALA LUMPUR: Pemangku Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd
(FGV), Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob enggan tunduk kepada gesaan 'Suara
Generasi Kedua FELDA' yang mendesaknya meletak jawatan.
Sambil menyifatkan gesaan itu sebagai 'amat tidak kena', Sulaiman
berjanji akan melaksanakan tugas yang diberikan kerajaan bagi memulihkan
prestasi kewangan syarikat tersebut.
Dalam satu temu bual dengan Bernama pada Rabu, beliau berkata, tugas
utamanya sejak dilantik sebagai pemangku pengerusi bagi menggantikan Tan
Sri Isa Samad pada 19 Jun lepas adalah untuk mengembalikan keyakinan
pelabur terhadap FGV sebagai syarikat senaraian awam yang pemegang saham
terbesarnya ialah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) serta
peneroka sendiri.
Isnin lalu, Datuk Zulkefli Nordin, penasihat kumpulan yang mewakili
generasi kedua peneroka Felda telah menggesa Sulaiman dan lembaga
pengarah untuk meletak jawatan bagi menghapuskan keraguan mengenai
integriti mereka dalam menguruskan FGV, satu daripada pengeluar minyak
sawit terbesar dunia.
Zulkefli berkata, masalah FGV dilihat berpunca daripada campur tangan
lembaga pengarah dalam mentadbir FGV dan sebahagian peneroka generasi
kedua bimbang masalah FGV akan dipersalahkan kepada presiden FGV yang
digantung tugas, Datuk Zakaria Arshad.
Sulaiman dengan tegas menafikan tuduhan berkenaan.
"Sebagai syarikat senaraian awam, FGV perlu mematuhi tadbir urus korporat, undang-undang dan peraturan.
"FGV mesti bertindak sewajarnya dan semuanya perlu dilakukan bagi
melindungi kepentingan pemegang saham dan semua tuduhan terbabit tidak
akan mengganggu saya atau menggagalkan rancangan kami,” tambahnya.
Pada 6 Jun, beberapa pegawai kanan FGV diarah bercuti berikutan kemelut
lembaga pengarah antara Isa dan Zakaria yang dicetuskan kelewatan
bayaran untuk transaksi minyak sawit oleh syarikat Afghanistan, Safitex
kepada anak syarikat FGV, Delima Oil Products Sdn Bhd.
“Saya belum pun sebulan memegang jawatan ini dan tuduhan itu tidak akan
mengganggu saya. FGV adalah syarikat senaraian awam, oleh itu saya
tidak akan membenarkan sebarang perpecahan dalam lembaga pengarah.
“Membuat tuduhan seumpama itu adalah seperti sengaja mencari masalah
dan membuka jalan kepada harga saham untuk terus jatuh,” tambah beliau.
Ketika saham FGV disenarai pada Jun 2012, ia diniagakan pada RM4.55
seunit, tetapi telah merudum kepada antara RM1.60 dan RM1.70 sesaham,
disebabkan terutama oleh banjir di Kelantan serta harga minyak sawit
mentah yang rendah.
Berikutan pelantikan Sulaiman, harga saham meningkat 4.55 peratus
kepada RM1.84 selepas pelabur memberi reaksi positif terhadap perubahan
dalam pucuk kepimpinan syarikat tersebut.
Bagaimanapun ia jatuh empat sen kepada RM1.65 ketika ditutup semalam.
Ketika mempertahankan tindakan yang diambil bagi memulihkan FGV,
Sulaiman menegaskan: "Kami diberi mandat oleh pemegang saham pada
mesyuarat agung tahunan dan semua resolusi telah diluluskan
mereka...pemegang saham adalah pihak berkuasa kami yang lebih tinggi dan
oleh itu kami mempunyai tanggungjawab terhadap mereka."
"Dan dalam usaha untuk bergerak ke depan, kami berhasrat untuk
menangani pelbagai isu berkaitan buruh asing dan produktiviti syarikat.
Bersama dengan Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, kami mahu
lembaga itu menjadi kuat semula.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.