Ahad, 2 Julai 2017

Tun Mahathir maafkan Salleh Keruak, Annuar Musa, Tunku Aziz

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Aziz Tunku Ibrahim antara pemimpin yang dimaafkan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad, kerana memfitnahnya.
 
Itu tulisan terbaru Dr Mahathir di laman blognya, sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, yang disambutnya sekeluarga di kota London.
 
Selain Tunku Aziz, bekas Perdana Menteri itu turut memaafkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan juga Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa, juga atas dakwaan memfitnahnya.
 
Dr Mahathir juga memaafkan media yang dakwanya selama ini memfitnahnya. 
 
"Saya diberitahu rumah terbuka Najib meriah dan ada hibur-hiburan. Alhamdulillah. Saya ucap Selamat Hari Raya kepada Najib dan keluarganya serta penyokong-penyokongnya. 
 
"Tanpa dipinta, saya maafkan mereka-mereka yang sepanjang tahun memfitnah saya khususnya TV3, Utusan Malaysia, New Straits Times, Salleh Said Keruak, Tunku Aziz, Annuar Musa dan beberapa lagi," tulisnya.
 
Tunku Aziz sebelum ini mendedahkan Dr Mahathir sebagai mengadakan komplot dengan Penasihat DAP, Lim Kit Siang untuk menjadikan anaknya, Datuk Mukhriz Mahathir sebagai calon Perdana Menteri pembangkang jika Pakatan Harapan (PH) menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
 
Pakatan sulit itu dedah Tunku Aziz turut menamakan Kit Siang sebagai calon Timbalan Perdana Menteri pembangkang.
 
Pendedahan itu dinafikan malah Mukhriz bertindak menyaman Tunku Aziz.
 
Menerusi tulisan itu, Dr Mahathir turut mengucapkan Selamat Hari Raya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, keluarga dan penyokongnya.
 
Beliau juga berkongsi pengalaman menziarahi Menara Grenfell, sebuah apartment 27 tingkat, yang terbakar pada Ramadan lalu dan mengorbankan banyak nyawa.
 
"Sesungguhnya kebakaran menara ini merupakan satu malapetaka yang perlu dijadikan pengajaran kepada semua kita. Saya percaya menara di Malaysia biasanya diperbuat bahagian luarannya dari simen, batu-bata dan granite yang tidak mudah terbakar. 
 
"Namun demikian, “fire-drill” perlu diadakan supaya penghuni tahu bagaimana menyelamat diri mereka. Tangga-tangga keselamatan perlu berada dalam keadaan tidak diganggu dengan barangan. Saya dan keluarga ucap takziah terhadap keluarga mangsa kebakaran menara di London," ujarnya.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.