Oleh Athirah Hanapiah
KUALA LUMPUR: Pihak yang menyokong keputusan Mahkamah Rayuan untuk
membenarkan anak luar nikah dibinkan dengan nama bapanya dianggap
menghalalkan zina pada masa akan datang.
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata isu itu adalah soal hukum agama dan ia tidak boleh dikompromi sama sekali.
Ujarnya rakyat tidak seharusnya mempertikaikan kuasa yang diberikan
kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk tidak membenarkan anak
luar nikah dibinkan nama bapanya.
"Dah beribu tahun dah hukum tu kekal macam tu. Orang duhulu-dahulu
tidak membuat hukum sebarangan. Hukum diasaskan daripada Al-Quran,
hadis, ijmak dan juga istidraj (kajian). Jadi setelah diputuskan barulah
ia kekal.
"Kenapa kita nak melawan arus, adakah nak cari publisiti dengan cara
kita melawan arus?Ini (anak luar nikah perlu binkan Abdullah) pendapat
baru menjurus kepada menghalalkan zina," katanya semasa menghadiri
Majlis Pelancaran Projek Residensi RAH di Kampung Baru, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kepada keputusan Mahkamah Rayuan pada
Khamis lalu yang membenarkan anak tidak sah taraf boleh dibin atau
dibintikan bapanya.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Datuk Tengku Maimun
Tuan Mat sebelum ini memutuskan perkara berkenaan ketika membenarkan
rayuan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dan kedua ibu
bapanya.
Mahkamah berpendirian, Ketua Pengarah PN selaku responden kedua telah
bertindak di luar bidang kuasa ketika mendaftarkan ‘Abdullah’ sebagai
nama bapa kepada kanak-kanak itu dalam sijil kelahirannya.
Sehari kemudian, Ketua Pengarah Jabatan JPN, Datuk Mohd Yazid Ramli
berkata, pihaknya akan terus meletakkan nama bapa “Abdullah” untuk
mendaftarkan anak luar nikah sehingga kes itu dimuktamadkan Mahkamah
Persekutuan.
Agensi itu kini dalam proses rayuan ke Mahkamah Persekutuan berhubung perkara itu.
Isu berkenaan kemudiannya mengundang reaksi pelbagai, dengan ramai yang
menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan itu sememangnya tidak selari
dengan apa yang ditentukan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.
Mengulas lanjut, Harussani berkata keputusan Mahkamah Rayuan itu jelas
membelakangkan agama Islam yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi
berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan.
"Dalam perlembagaan kita agama Islam yang dipakai, jadi kenapa mereka
nak nafikan keputusan fatwa dan telah digazetkan. Keputusan untuk
mengikat pendaftaran (JPN), dia mengikat semua, itu sudah ada dalam
Perlembagaan. Macam mana Mahkamah Rayuan sendiri tidak terikat dengan
fatwa.
"Kita bukan menghina mahkamah tapi perbuatan itu tidak betul, keputusan
Mahkamah Rayuan ini yang menghina Islam, menghina perlembagaan itu
sendiri, menghina fatwa," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.