Oleh Athirah Hanapiah
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi mengingatkan mana-mana pihak untuk menghormati undang-undang
Islam sebagaimana yang ditetapkan di dalam Al-Quran.
Ujarnya, adalah tidak wajar untuk merombak sesuatu undang-undang yang
telah termaktub di dalam Al Quran semata-mata demi 'mementingkan'
undang-undang dunia.
'Jangan campur hal ehwal kita, undang-undang kita hak kita, jangan
campur. Walaupun yang campur tu orang Islam, memang pakar undang-undang
tetapi undang-undang Islam bukan hanya apa yang termaktub di atas kertas
tetapi berdasarkan hukum Quran, Sunnah, ulamak dan Qias," katanya
semasa berucap dalam Majlis Perasmian Pelancaran Projek Residensi RAH,
di Kampung Baru pagi tadi.
Mahkamah Rayuan pada Khamis lalu memutuskan anak tidak sah taraf boleh dibin atau dibintikan bapanya.
Panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Tengku Maimun Tuan Mat
memutuskan perkara berkenaan ketika membenarkan rayuan seorang
kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dan kedua ibu bapanya.
Mahkamah berpendirian, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)
selaku responden kedua telah bertindak di luar bidang kuasa ketika
mendaftarkan ‘Abdullah’ sebagai nama bapa kepada kanak-kanak itu dalam
sijil kelahirannya.
Sehari kemudian, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk
Mohd Yazid Ramli berkata, pihaknya akan terus meletakkan nama bapa
“Abdullah” untuk mendaftarkan anak luar nikah sehingga kes itu
dimuktamadkan Mahkamah Persekutuan.
Agensi itu kini dalam proses rayuan ke Mahkamah Persekutuan berhubung perkara itu.
Isu berkenaan mengundang reaksi yang pelbagai, dengan ramai yang
menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan itu sememangnya tidak selari
dengan apa yang ditentukan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.
Dalam pada itu mengulas 'teguran' seorang bekas hakim, Datuk Seri Gopal
Sri Ram agar ahli politik dan penjawat awam berhati-hati ketika
mengeluarkan kenyataan berhubung penghakiman mahkamah, tegas Zahid,
setiap pihak perlu menghormati agama masing-masing.
"Tolong hormati agama kita kalau kita dikehendaki untuk menghormati agama lain.
"Ini harus dihormati, jangan semborono, sesuatu yang dilakukan itu
seolah-olah mahu dirombak, sesuatu yang subhah, yang qat'i harus diakui
ditolak, jadi tidak boleh begitu," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.