Sabtu, 22 Julai 2017

'Saya yakin peserta Himpunan Pertahankan Islam malam ini melimpah keluar stadium' - Exco Kelantan

Oleh Zeanaaima Md Yusof & Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
KOTA BAHRU: Umat Islam seluruh negara diseru untuk menghadiri Himpunan Pertahankan Islam di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini.
 
Exco Kelantan, Datuk Che Abdullah Che Mat Nawi berkata umat Islam perlu datang beramai-ramai untuk menyatakan sokongan kepada usaha mempertahankan agama Islam yang mutakhir ini diserang daripada pelbagai sudut.
 
"Himpunan ini untuk menyatakan sokongan kepada umat Islam untuk melawan ancaman terhadap agama Islam di seluruh Rantau Asia, khususnya di Malaysia.
 
"Di Malaysia, umat Islam juga terima ancaman daripada segenap segi. Mutakhir ini, orang Islam dihalang daripada melaksanakan tuntutan agamanya sendiri," ujarnya kepada Antarapos.
 
Kerajaan negeri Kelantan sebelum ini menjadi sasaran kritikan pihak tertentu selepas DUNnya meluluskan pindaan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah II yang antara lainnya membolehkan hukuman sebat dijalankan secara terbuka.
 
Pindaan itu juga memperuntukkan kuasa kepada pegawai penguatkuasa agama untuk menggunakan gari ke atas suspek selain membenarkan penggunaan video sebagai bahan bukti semasa perbicaraan.
 
Cadangan pindaan undang-undang itu telah diusulkan oleh Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri, Datuk Mohd Nassuruddin Daud yang kemudiannya disokong sebulat suara oleh ahli DUN.
 
Umat Islam juga cuba dihalang daripada melaksanakan perundangan Islam diperingkat nasional, dengan mengganggu usaha memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah.
 
Mengulas lanjut, Che Abdullah berkata tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang dengan sengaja mencabar Islam perlu dihentikan dengan cara umat Islam harus bersatu dan menolak segala provokasi yang dilakukan.  
 
"Israel halang rakyat Palestin bersolat di Masjid Al-Aqsa. Orang Islam di negara ini pula dihalang daripada melaksanakan perundangan Islam. Sementara pemikir Islam dan golongan ulama kita diserang, dihina.
 
"Kita diancam dari banyak segi terbaru isu makanan iaitu campuran daging babi dan kambing yang pada saya dibuat secara sengaja. Walhal mereka tahu Islam mengharamkan babi. 
 
"Mereka sengaja mencabar umat Islam. Ada juga yang dengan sengaja anjurkan program sentuh anjing. Umat Islam mesti bersatu hati pertahankan Islam," ujar tegas.
 
Justeru, Che Abdullah menyeru semua umat Islam hadir ke Stadium SUltan Muhammad IV untuk menyokong serta menyatakan bantahan kepada usaha memburukkan nama Islam.
 
"Kita yakin, penyertaan umat Islam malam ini ramai dan InsyaAllah akan melimpah-ruah ke luar stadium," katanya lagi.
 
Kelantan selama tiga hari dipilih menjadi tuan rumah untuk menganjurkan Ijtima' Antarabangsa Perpaduan Ummah (Rantau Asia).
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.