IPOH: Misteri kehilangan pasangan suami isteri warga emas selepas pergi
ke sebuah pasar raya di Meru, di sini sejak kelmarin, terjawab selepas
ditemui terperangkap dalam lif pasar raya berkenaan yang rosak pagi
semalam.
Pasangan suami isteri yang masing-masing berusia 74 dan 70 tahun itu
ditemui selamat tetapi dalam keadaan lemah berikutan berada dalam lif
terbabit lebih 24 jam.
Kedua-duanya dipercayai terperangkap dalam lif berkenaan mulai jam
11.30 pagi kelmarin sebelum ditemui kira-kira jam 1 tengah hari
semalam.
Kehilangan dua warga emas itu dimuat naik seorang daripada anak mangsa
yang menggunakan nama Mohd Khalil menerusi laman sosial yang memaklumkan
kedua ibu bapanya tidak pulang ke rumah selepas keluar ke pasar raya
berkenaan pagi kelmarin.
Menerusi status itu, Mohd Khalil berkata, kedua-dua ibu bapanya tidak
membawa telefon bimbit dan kesihatan tidak mengizinkan berikutan
terpaksa bergantung kepada ubat serta badan menjadi menggeletar
sekiranya lewat makan.
Susulan kehilangan warga emas itu, anak mereka membuat laporan polis di Balai Polis Jelapang di sini pagi semalam.
Sumber polis berkata, seorang daripada anak mangsa berusia 42 tahun
pergi semula ke pasar raya berkenaan untuk mencari kedua ibu bapanya dan
menemui kereta jenis Proton Wira dinaiki mangsa di tempat letak kereta
pasar raya terbabit.
Katanya, anak mangsa dan seorang pengawal mencari di sekitar pasar raya
sebelum terdengar jeritan seorang lelaki di kawasan lif dan menemui
kedua-dua mangsa.
"Kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan lemah dan tidak bermaya dan
dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk menerima
rawatan lanjut," katanya.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong ketika
dihubungi hari ini mengesahkan polis menerima laporan berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.