Oleh Syed Mu'az Syed Putra
SHAH ALAM: PAS menegaskan tidak akan membuka pintu rundingan dengan
Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan dalam mendepani Pilihan Raya
Umum Ke-14 (PRU14) selain bersedia menghadapi risiko kekalahan dalam
saingan tiga penjuru.
Sebaliknya Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim berkata PAS hanya
akan berunding dengan komponen Gagasan Sejahtera berhubung pembahagian
kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun Parlimen.
"Ya, kita bersama Gagasan Sejahtera sahaja.
"Kita akan berunding dalam Gagasan Sejahtera dan tiada sebarang
perundingan dengan Pakatan Harapan ataupun dengan Umno," katanya kepada
Antarapos.
Jelas beliau, Gagasan yang dibentuk bersama Parti Ikatan Bangsa
Malaysia (IKATAN) akan menjadi alternatif kepada Pakatan untuk
mengalahkan BN pada PRU14.
"Dengan BN memang lawan kita sepanjang masa, tak mungkin kita berunding dengan Umno sebab kita akan lawan Umno," katanya.
Pertandingan tiga penjuru dalam PRU14 dijangka akan berlaku berikutan
keengganan parti pembangkang berkompromi dalam soal rundingan kerusi
yang memungkinkan BN akan kekal sebagai parti pemerintah pusat.
Malah PAS berulang kali menegaskan ia tidak akan menyertai Pakatan
ataupun BN sebaliknya sedang memperkasakan blok pembangkang ketiga bagi
menghadapi PRU14.
PAS sedia berdepan Pakatan dan BN dalam tiga penjuru.
Justeru Tuan Ibrahim menegaskan tiada sebab untuk PAS berunding dengan mana-mana parti di luar penggabungan Gagasan.
"Hampir 90 peratus kerusi-kerusi PAS semua lawan Umno dan PAS tidak ada
perundingan dengan Umno daripada awal cuma fitnah serta tuduhan itu
sengaja dilemparkan oleh orang yang tak senang pada PAS.
"Dengan Pakatan Harapan kita tak berunding sebab kita bukan sebahagian daripada Pakatan HArapan," katanya.
Ditanya sekiranya soal agihan kerusi dengan komponen Gagasan, beliau
berkata ia belum dimuktamadkan lagi kerana ia masih di peringkat
mengenalpasti kekuatan komponen gabungan itu.
"Belum lagi, di peringkat ini kita masih kenal pasti kekuatan di seluruh negara," katanya.
Beliau berkata PAS mengutamakan persefahaman politik yang turut membuka
ruang kepada badan bukan kerajaan dan tokoh sebagai platform baru
kepada landskap politik negara.
"Cuma prinsip PAS kita akan pertahankan kerusi-kerusi PAS dan kita akan
tengok kekuatan dalam Gagasan Sejahtera yang melibatkan tiga komponen
iaitu parti politik, NGO dan tokoh-tokoh," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.