Oleh Syed Mu'az Syed Putra
SHAH ALAM: Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar bersetuju
sekiranya mekanisme penetapan harga siling petrol dan diesel secara
mingguan ditukar kepada harian sebagaimana yang dicadangkan baru-baru
ini.
Namun wakil rakyat PAS ini menegaskan cadangan itu memerlukan
penelitian secara menyeluruh termasuk menentukan had harga maksimum agar
tidak membebankan rakyat.
"Yang pertama dari segi prinsipnya konsep yang dibuat sekarang ini
iaitu secara mingguan ini satu perkara yang sangat baik dan
menguntungkan pengguna dan juga negara.
"...dan secara harian juga saya boleh terima," katanya kepada Antarapos.
Mahfuz mengulas mengenai formula penetapan harga bahan api yang
dicadangkan oleh Menteri Perdagangan, Koperasi dan Kepenggunaan
(KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainuddin ditukar daripada mingguan kepada
harian.
Bagaimanapun Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani berkata
kerajaan setakat ini belum berhasrat untuk menukar mekanisme berkenaan.
Sehubungan itu, Johari berkata, penetapan harga minyak secara mingguan
akan diteruskan buat masa ini sehingga keputusan lebih baik dapat
dicapai yang dapat memberi faedah kepada semua pihak termasuk rakyat
serta kalangan pengusaha bahan api berkenaan.
Subsidi diperlukan sekiranya perubahan harga terlalu tinggi
Justeru Mahfuz berkata sekiranya harga pasaran minyak dunia melambung
terlalu tinggi maka kerajaan perlu melaksanakan sistem subsidi bagi
mengurangkan harga tersebut.
"Tetapi ia harus ada pertimbangan khasnya iaitu bila harga pasaran
minyak dunia naik sampai pada kadar tertentu maka pada waktu itu kembali
kepada sistem subsidi untuk melindungi kepentingan pengguna.
"Sistem yang ada sekarang ini bagi saya kalau harga minyak itu jatuh ia
menguntungkan pengguna sebab kita akan dapat harga yang lebih murah,"
katanya.
Ini kerana tegas beliau, rakyat akan terbeban dek kenaikan harga yang
terlalu tinggi sekiranya subsidi tidak diberikan ketika itu dan ia akan
memberi kesan ketara terhadap pengguna.
"Tapi sistem yang ada ini kalau harga minyak itu tinggi kita terpaksa
bayar duit banyak tanpa subsisi maka ini akan mendatangkan masalah beban
sara hidup yang terpaksa ditanggung oleh rakyat kerana ia akan membawa
kepada kenaikan harga barang dan sebagainya sedangkan pendapatan kita
itu tidak melonjak naik.
"Sebab itu bagi saya melaksanakan sistem harian seperti dilaksanakan di
negara luar satu perkara yang saya setuju tapi mesti ada had iaitu satu
kadar contohnya bila harga minyak dunia naik sehingga 70 Dolar satu
tong.
"Jadi pada waktu itu harus disubsidikan kerana membebankan rakyat," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.