KUALA LUMPUR: Umat Islam di negara ini diminta tidak mudah melatah
terhadap kebenaran Mahkamah Rayuan yang membenarkan anak diluar nikah
di'bin'kan dengan nama bapa.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Tan Sri Othman
Mustapha, berkata penasaban anak tidak sah taraf orang Islam diteruskan
seperti sedia ada sehingga keputusan Mahkamah Persekutuan diperoleh.
"Semoga usaha pihak JPN melalui Jabatan Peguam Negara untuk menfailkan
rayuan terhadap kes tersebut ke Mahkamah Persekutuan akan berjalan
lancar," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian susulan keputusan Mahkamah Rayuan yang
memutuskan anak tidak sah taraf boleh dibin atau dibintikan bapanya.
Terdahulu dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan JPN, pihaknya
mengekalkan penggunaan nama Abdullah sebagai bin atau binti anak tidak
sah taraf, sementara menunggu keputusan selanjutnya oleh Mahkamah
Persekutuan.
Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Mohd Yazid Ramli, berkata
sebarang pindaan terhadap pelaksanaan semasa hanya akan dipertimbangkan
selepas keputusan Mahkamah Persekutuan diperoleh, setelah JPN menfailkan
rayuan ke Mahkamah Persekutuan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.