Oleh Nur Atiqah Abdul Samad
SHAH ALAM: Setiausaha PAS Kelantan Datuk Che Abdullah Che Mat Nawi
menyelar kritikan yang disuarakan Naib Presiden Amanah negeri Datuk
Husam Musa terhadap hasil Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat yang
dibangunkan kerajaan negeri.
Katanya, Husam tidak layak untuk menyatakan kritikan sedemikian ekoran
sepanjang menjadi salah seorang Ahli Lembaga Pengarah Ladang Rakyat
selama enam tahun, hanya sekali sahaja beliau menghadiri mesyuarat
berdasarkan laporan yang pernah dinyatakan badan itu.
Justeru beliau mengingatkan Husam untuk tidak mempersoalkan perkara
yang beliau gagal laksanakan sewaktu berada dalam badan berkenaan.
"Datuk Husam ni seolah-olah terlupa beliau adalah (pernah) ahli lembaga
pengarah Ladang Rakyat ni sejak daripada penubuhan sehingga tahun 2012,
apabila (Husam) tergugur kerana tidak pernah menghadiri mesyuarat.
(Hanya) pernah hadir sekali sahaja dalam masa enam tahun.
"Kalau mesyuarat yang merupakan tanggungjawab asas kepada ahli lembaga,
di mana lembaga berbincang untuk merancang polisi dan sebagainya pun
tidak boleh ditunaikan, (jadi) macam mana sebut nak buat hasil yang
banyak dan sebagainya. Tanggungjawab paling asas pun tak boleh hadir,"
katanya kepada Antarapos.
Che Abdullah berkata demikian mengulas kenyataan Husam bahawa Amanah
Kelantan mampu melipat-gandakan hasil Ladang Rakyat jika mereka berjaya
mendapat mandat rakyat negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
Dakwa Husam, Ladang Rakyat sepatutnya mampu menghasilkan pendapatan
sebanyak RM 180 juta setahun, tetapi apabila berada di bawah pimpinan
PAS ia hanya memperoleh RM9.6 juta setahun.
Sehubungan itu katanya, Jika Amanah atau Pakatan Harapan (PH) diberi
peluang mentadbir Kelantan, parti itu akan mengkaji semula perjanjian
pajakan ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.