SINGAPURA: Singapura akan membantah permohonan Malaysia bagi
interpretasi penghakiman Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) 2008 dalam
kes berhubung kedaulatan ke atas Pedra Branca (Pulau Batu Putih),
Middle Rocks (Batuan Tengah) dan South Ledge (Tubir Selatan).
Dalam satu kenyataan, Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura (MFA)
berkata permohonan Malaysia bagi interpretasi yang difailkan kelmarin,
adalah tambahan kepada, dan berasingan daripada permohonan yang
difailkan pada 2 Februari 2017 bagi semakan Penghakiman ICJ. PULAU Batu
Putih.
"Pada pandangan kami, Penghakiman ICJ adalah terang dan jelas.
Permohonan Malaysia untuk ICJ membuat interpretasi terhadap penghakiman
menimbulkan kebingungan.
"Oleh itu, Singapura akan membantah permohonan Malaysia bagi
interpretasi yang kita anggap sebagai tidak perlu dan tanpa merit," kata
MFA.
Kementerian menambah bahawa Singapura akan memfailkan Pemerhatian
Bertulis mengenai permohonan interpretasi dalam masa terdekat.
"Sebagaimana kami yakin tentang kes kami mengenai permohonan semakan,
kami juga yakin bahawa kami bersandarkan kepada alasan kukuh untuk
membantah permohonan terbaharu oleh Malaysia untuk interpretasi," kata
kementerian itu.
MFA menarik perhatian bahawa Singapura komited untuk menyelesaikan isu-isu ini mengikut undang-undang antarabangsa.
Dalam permohonan yang dinyatakan oleh ICJ dalam satu kenyataan media
pada Jumaat, Malaysia meminta mahkamah yang berpusat di The Hague
memutuskan dan mengisytiharkan bahawa perairan di sekitar Pedra
Branca/Pulau Batu Putih berada dalam perairan wilayah Malaysia; oleh
kerana Tubir Selatan terletak dalam perairan wilayah Malaysia, dan oleh
yang demikian kedaulatan ke atas wilayah itu adalah milik Malaysia.
Malaysia memfailkan permohonan bagi semakan Penghakiman ICJ pada 2
Februari lalu selepas menemui fakta baru berdasarkan tiga dokumen yang
disimpan di National Archives of the United Kingdom bagi menyokong
tuntutannya. Singapura sementara itu telah memfailkan Pemerhatian
Bertulis pada 24 Mei, 2017 sebagai respon kepada permohonan Malaysia
bagi semakan penghakiman ICJ.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.