Sabtu, 24 Jun 2017

Siapa pernah pelawa Parti Generasi Baru masuk PH?, sindir PPBM

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Seorang pemimpin kanan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), meluahkan rasa hairan terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Tertinggi (MT) Parti Generasi Baru semalam yang menjadikan partinya sebagai alasan untuk parti itu mengundur diri daripada menyertai Pakatan Harapan (PH).
 
Ketua Penerangan Datuk Kamaruddin Md Noor berkata, seperti yang difahami, Parti Generasi Baru tidak pernah dipelawa untuk masuk ke dalam PH.
 
Justeru tegas beliau, tindakan Parti Generasi Baru yang tidak mahu turut serta dalam pakatan pembangkang itu tidak ada kena-mengena dengan PH lebih-lebih lagi PPBM.
 
"Saya agak pelik juga, aneh juga ni.
 
"Parti Generasi Baru ni ada siapa-siapa minta dia masuk Pakatan Harapan ke?
 
"Tiadakan? Jadi kalau tiada sesiapa yang menjemput dia, dia nak masuk, dia nak keluar, itu dia punya keputusan tiada kena mengena dengan kita," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.
 
Malah beliau berkata Parti Generasi Baru yang dipengerusikan Datuk Ezam Mohd Noor itu tidak sepatutnya menjadikan PPBM sebagai punca mereka menarik diri kerana sudah awal lagi diketahui tentang kewujudan parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu dalam PH.
 
Beliau juga menambah, sebagai sebuah parti luar, Parti Generasi Baru tidak mempunyai hak untuk memberikan sebarang kritikan tentang apa yang berlaku dalam pembangkang termasuk berkaitan isu calon perdana menteri.
 
"Jadi saya agak anehlah, nak masuk tapi kemudian buat keputusan tak nak masuk, selepas tu salahkan kita pula, tiada kena mengena bukan dia tidak tahu yang kita ada dalam tu (PH).
 
"Dia tak masuk lagi, dia yang nak masuk, dia yang nak keluar. Kalau dah masuk parti kemudian bergaduh dan keluar tu ada juga alasan dia, ini masuk pun belum lagi dan dia tiba-tiba menyalahkan kita pula, apa kena-mengena.
 
"Itu masalah dia, tiada kena mengena dengan kita. Kita tak pernah jemput dia masuk pun, saya fikir tiada sesiapa pun dalam PH yang menjemput dia masuk, tapi terserah pada dia, kalau dia nak masuk lepas tu barulah PH bermesyuarat nak terima tak nak terima."
 
Semalam, Parti Generasi Baru dikatakan membatalkan hasratnya untuk menyertai PH sehinggalah isu-isu yang dikatakan melanda kepimpinan gabungan pembangkan itu selesai.
 
Ia berikutan mereka tidak selesa dengan peranan PPBM dalam gabungan empat parti itu yang dikatakan cuba untuk menguasai PH.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.