Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menetapkan supaya
solat sunat Hari Raya Aidilfitri di semua masjid dan surau di negeri
berkenaan diselaraskan pada 8.30 pagi.
Pengarahnya, Datuk Haris Kassim berkata penyelarasan itu
dibuat bagi mengelak kekeliruan kepada jemaah akibat ketidakseragaman
waktu solat sunat berkenaan antara masjid dan surau di negeri itu.
"Dengan ketetapan ini diharap sedikit sebanyak akan
memberi ruang dan masa yang cukup untuk umat Islam hadir ke masjid dan
surau sebelum solat sunat Hari Raya Aidilfitri didirikan," katanya dalam
kenyataan di Shah Alam hari ini.
Haris dalam pada itu, turut mengingatkan umat Islam di
Selangor supaya menyambut kehadiran Aidilfitri dengan kesederhanaan
serta mengeratkan hubungan silaturahim dan saling menziarah kaum
keluarga serta sahabat handai.
Umat Islam di negara ini, bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri yang dijangka pada Ahad ini.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.