Selasa, 27 Jun 2017

Pembaziran: Jangan hanya cakap tapi buat


SINAR ONLINE

makanan
Gambar hiasan.
 
KUALA LUMPUR - Pembaziran bagaikan satu penyakit yang nampaknya belum ada penawar mujarab. Ada kalanya, ia merebak dan ada kalanya dapat dikekang.

Pembaziran makanan seolah bermusim, lebih banyak berlaku pembaziran ketika musim perayaan, contoh Ramadan yang baru berakhir.

Ramadan sudah pun berlalu dan kita kini berada dalam bulan Syawal. Persoalannya apa yang kita pelajari daripada ibadah puasa yang kita jalani.

Saban tahun Ramadan dan Syawal silih berganti dan perkara yang sama berulang yakni pembaziran makanan. Banyaknya makanan yang berakhir sebagai penghuni tong sampah sepanjang Ramadan!

Memang ramai sungguh yang berniaga di bulan Ramadan dan ada pula yang membeli mengikut nafsu. Kalau hendak diikutkan banyak kempen dibuat dan peringatan dilaungkan, namun pembaziran terus berlaku.

Minggu terakhir Ramadan menyaksikan sesuatu yang saya lihat sebagai ‘kemuncak’ pembaziran di mana makanan yang belum disentuh terbuang atau mungkin juga dibuang. Dalam sekelip mata isu pembaziran ini menjadi tular di media sosial.  Malah, media arus perdana turut membuat liputan mengenainya.

Melihatkan makanan yang akhirnya menjadi ‘longgokan sampah’ itu, amat meruntun hati. Masakan tergamak semudah itu membuang makanan. ‘Longgokan sampah’ itu sebenarnya adalah  sumbangan pelbagai pihak terutamanya untuk golongan gelandangan di sekitar Kuala Lumpur ini.

Mungkin pihak yang menyumbang hanya meletakkan makanan di situ dengan harapan ianya diambil oleh golongan memerlukan. Sewajarnya, jika mahu memberi ikut cara dan adabnya, tidak wajar ditinggalkan begitu sahaja. Pastikan supaya makanan itu sampai kepada golongan yang menjadi sasaran supaya tidak sia-sia pihak yang menghulurkan sumbangan.

Penularan gambar itu membawa pelbagai respons di media sosial.

Ada yang mengulangi cadangan seperti yang pernah dikemukan berkali-kali oleh banyak pihak sebelum ini iaitu supaya mewujudkan satu badan untuk mengawal selia soal pengagihan makanan yang bakal disumbangkan.

Jadi sesiapa sahaja yang ingin menyumbang, hendaklah menghubungi badan berkenaan yang bertindak sebagai saluran atau pusat rujukan agar makanan yang dimaksudkan boleh diagih dengan lebih sistematik dan tidak berlaku pertindihan agihan sehingga menyebabkan pembaziran.

Banyak pihak memberikan pelbagai cadangan terutamanya melalui media sosial yang dan antara cadangannya adalah supaya turut menyumbang makanan kepada pelajar universiti dan surau-surau bukan sekadar gelandangan.

Aktivis sosial Syed Azmi Alhabshi mencadangkan supaya memberikan sumbangan makanan kepada petugas di Balai Polis dan Bomba, pondok-pondok pengawal keselamatan, stesen bas, pemandu bas,  atendan stesen minyak, badan bukan kerajaan (NGO) yang mengajar tuisyen malam atau kelas mengaji  dan banyak lagi.

Mengimbas kembali Ramadan 2016, terdapat beberapa hotel berganding bahu dengan NGO yang menganjurkan pengumpulan makanan lebihan (kebanyakannya belum disentuh) lalu diagih-agihkan kepada golongan memerlukan termasuk gelandangan dan para penghuni di Projek-projek Perumahan Rakyat (PPR).

Selain itu, para peniaga di Bazar Ramadan turut bekerjasama dengan NGO untuk mengumpul sumbangan makanan termasuk yang tidak terjual lalu dan dihantar ke rumah-rumah golongan memerlukan di sekitar Kuala Lumpur.

“Kesan program bagi makan gelandangan tanpa kerjasama NGO sedia ada. Nak buat program kena bertanggungjawab dari awal sampai habis. Sampah pun tanggungjawab kau dik,” tulis Fariza Ahmad Yasifon,  seorang sukarelawan, yang meletakkan gambar-gambar sampah sarap di Kuala Lumpur, di laman Facebook beliau.

Benar seperti kata beliau, sampah juga tanggungjawab. Bukan sahaja soal pengagihan makanan yang menjadi isu, di sisi lain timbul pula masalah sampah-sarap ditambah pula dengan makanan yang terbuang. Siapakah yang patut membersihkannya?

Berdasarkan komen yang diterima, ramai yang sependapat bahawa aspek pembersihan sepatutnya menjadi tanggungjawab pihak yang mengagihkan makanan. Antara cadangan, supaya menyediakan plastik sampah selain memeriksa kawasan terbabit untuk dibersihkan jika perlu. Malah, ada juga yang menyarankan agar sambil mengagihkan makanan hendaklah, “mengajar dan berpesan-pesan  kepada golongan penerima mengenai aspek kebersihan dan supaya tidak membuang sampah merata-rata.”

Bukan sahaja ketika Ramadan, malah setiap musim perayaan atau cuti umum, masalah sama akan berulang di Kuala Lumpur. Berebut-rebut pelbagai pihak mahu menyumbang serta menjamu gelandangan dan golongan memerlukan. Niat untuk membantu golongan memerlukan itu sangat mulia dan digalakkan namun amat mengecewakan apabila niat baik itu akhirnya mengundang pembaziran dan bermacam-macam masalah lain.

Perlu diingat, masalah pembaziran berlaku sepanjang tahun. Justeru, carilah jalan penyelesaian dengan segera agar pembaziran tidak berleluasa. Sewajarnya ada pihak yang segera mengambil tanggunjawab mencari jalan terbaik dalam mengurus selia setiap sumbangan yang bakal diberikan kepada gelandangan setiap hari, sepanjang tahun.  Hanya dengan cara sistematik, masalah pembaziran boleh dikekang.

Ambillah iktibar daripada Ramadan! Semoga kemeriahan Syawal tidak dicemari permasalahan serupa tatkala orang ramai sibuk meraikannya.

Pelbagai pihak banyak mengulas isu mengenai pembaziran, termasuk individu, NGO sehinggalah ke peringkat menteri. Hakikatnya, jom ‘Kata dan Buat’, tidak perlu tunggu Ramadan tahun depan. - Bernama
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.