KUALA TERENGGANU: Gara-gara menjual telekung ciplak jenama terkenal
Siti Khadijah, seorang wanita berketurunan Kemboja ditahan pihak polis
selepas didakwa hampir sebulan melakukan kegiatan berkenaan.
Pengarah KPDNKK negeri, Azlan Abdul Samat berkata, wanita berusia 25
tahun itu dipercayai memperolehi keuntungan yang besar dengan cara yang
mudah dengan menjual telekung ciplak itu di pasar-pasar malam di sekitar
Kuala Terengganu.
Wanita berkenaan yang ditahan pada jam 2.15 petang di dalam sebuah
serbuan di Kampung Bukit Besar, Jalan Pasir Panjang bagaimanapun
dilepaskan selepas keterangannya diambil.
Serbuan dilakukan oleh sekumpulan pegawai penguat kuasa Kementerian
Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri.
Azlan memaklumkan wanita tersebut menghantar telekung Siti Khadijah
yang tulen ke Vietnam untuk diciplak rekaannya sebelum dijual di sini.
“Dalam serbuan oleh sembilan pegawai penguat kuasa petang semalam turut
disertai pemilik cap dagang Siti Khadijah Apparel Sdn. Bhd.
“Biasanya setiap sehelai telekung tiruan ini dijual antara RM100 hingga
RM120, sedangkan yang tulen dijual RM150 hingga RM250,” katanya dalam
sidang akhbar di pejabat KPDNKK Terengganu di sini hari ini.
Kes disiasat bawah Seksyen 8(2)(c) Akta Perihal Dagangan yang
memperuntukkan denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang palsu
atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit
kesalahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.