Rabu, 3 Mei 2017

Umno Kelantan gesa pilih calon bukan kerana jawatan dalam parti

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed digesa supaya tidak memilih calon berdasarkan jawatan dalam parti.
 
Ketua Pembangkang Kelantan, Datuk Norzula Mat Diah berkata demikian mengulas kenyataan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang meminta agar pakatan itu menyusun strategi untuk menang lebih banyak kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-14.
 
"Strategi bukanlah penting sangat, sebaliknya calon yang dikemukakan Umno untuk PRU14. Sikap rakyat di Kelantan lain, berbeza dengan negeri lain.
 
"Calon memainkan peranan penting untuk memberi kemenangan kepada Umno. Maka Mustafa perlu memilih calon yang boleh diterima rakyat, bukan berlandaskan mereka yang mempunyai jawatan di dalam parti. Kemudian, kita boleh lihat perubahan yang besar dimana kakitangan kerajaan atau ketua-ketua jabatan di Kelantan sudah bersedia untuk membantu Umno," katanya kepada Antarapos, hari ini.
 
Tengku Razaleigh sebelum ini menyatakan keyakinannya bahawa BN mempunyai peluang besar untuk menamatkan pemerintahan selama 27 tahun PAS di Kelantan pada PRU14 nanti.
 
Untuk rekod PAS menang sebanyak 32 kerusi DUN, diikuti BN sebanyak 12 kerusi dan PKR satu kerusi sahaja dalam PRU13 yang lalu.
 
Veteren Umno tersebut percaya rakyat Kelantan dahagakan pembaharuan selepas melihat kegagalan pentadbiran PAS Kelantan sepanjang tempoh memerintah.
 
Baru-baru ini bekas Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali ragu-ragu dengan kemampuan Umno Kelantan merampas kembali negeri itu meskipun sedar akan ketidakpuasan rakyat terhadap PAS.
 
Norzula yang juga ADUN Paloh enggan ambil kisah ketidakyakinan bekas ahli Parlimen Pasir Mas itu, memandangkan PAS kini dilanda pelbagai masalah dalaman dan luaran.
 
"Pengundi sekarang sudah berbeza dari dahulu. Sekarang kita mempunyai pengundi baru yang ramai, yang boleh merubah keadaan yang dahulu. Bukanlah satu perkara yang menjadikan asas pengundi sayang kepada PAS. Tidak. 
 
"Tetapi mereka kini sudah berubah. Pertama kerana ketiadaan pemimpin mereka yang besar seperti Tok Guru Nik Aziz, malah perpecahan di dalam PAS. Ini adalah faktir terbesar untuk melihat PAS bukanlah sebesar mana," katanya.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.