Oleh Ainor Rahim
PUTRAJAYA: Ahli Majlis Tertinggi Umno (MT) Tan Sri Noh Omar membidas
kenyataan Tun Dr Mahathir yang mendakwa kaum Melayu kini sudah hilang
semangat nasionalisme kerana lebih mementingkan kebendaan.
Menurut Noh, mantan Perdana Menteri itu yang sebenarnya sudah luntur
semangat nasionalisme dalam perjuangan kerana 'menjilat kembali' segala
tohmahan yang pernah dilemparkan terhadap DAP demi kepentingan peribadi.
"Kalau Tun M ini betul-betul semangat nasionalisme dia kuat, dia takkan
jilat apa yang dia cakap. Dia sendiri yang cakap DAP ini cauvinis,
perkauman. Jadi macam mana dia boleh korbankan prinsip perjuangan dia
kerana peribadi. Itu sahaja," katanya dalam sidang media selepas Program
Agihan Bubur Lambuk di sini hari ini.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu juga
turut mengaitkan kritikan Dr Mahathir mengenai pemilikan Zhejiang Geely
Holding Group Co Ltd (Geely) di dalam syarikat pengeluar kereta
nasional, Proton.
"Saya ingat benda ini telah pun dibincang. Menteri Kewangan II, Datuk
Johari pun dah buat kenyataan kalau kita tidak selamatkan mungkin jadi
macam Perwaja. Semua ini beban yang ditinggalkan oleh Tun
Mahathir,"katanya lagi.
Terdahulu, pemimpin veteran itu menyatakan rasa kurang senang di
catatan blognya yang mengatakan kaum Melayu hari ini telah 'hilang'
semangat nasionalisme, memilih kebendaan berbanding cinta terhadap
bangsa dan negara.
Katanya lagi, Melayu kini 'malu' dilihat sebagai nasionalis kerana khuatir digelar sebagai rasis.
Dr Mahathir, kini menerajui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM),
parti serpihan Umno yang dibentuk bersama beberapa bekas pemimpin parti
Melayu terbesar itu termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam perkembangan berasingan, ketika ditanya mengenai calon yang bakal
diletakkan di kerusi DUN Sekinchan, Noh berkata mana-mana pihak bebas
mengemukakan pandangan namun keputusan mutlak terletak di tangan Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai desas-desus
kesediaan Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos untuk
bertanding di DUN tersebut setelah MCA beri laluan untuk Umno
bertanding.
"Calon ini biarlah Perdana Menteri yang tentukan. Semua orang boleh
cakap dia menjadi calon. Semua orang boleh bercakap tetapi apa pun kita
perlu akur keputusan yang akan diputuskan oleh Perdana Menteri.
"Jadi agihan kerusi pun kita tidak boleh nak komen, tambah lagi
mengenai calon. Tetapi siapa nak bercakap boleh bercakap, sesiapa pun,"
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.