SHAH ALAM: Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali berkata beliau sudah
mengadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam
berhubung tindakan Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa, yang didakwa
berceramah berkaitan politik di sebuah masjid, Rabu lalu.
Memetik laporan Bernama, Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR
memberitahu, Sivarasa juga telah menemui beliau bagi menjelaskan
keadaan.
Azmin bagaimanapun enggan memberitahu butiran lanjut daripada pertemuan berkenaan.
"Saya telah mengadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah
semalam bagi menjelaskan keadaan yang berlaku," katanya ketika ditemui
selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri hari ini.
Rabu lalu, Sivarasa dilaporkan memasuki Masjid An Nur Kampung Melayu
Subang, Klang sebagai mewakili Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed
Azmin Ali, sebelum didakwa menyampaikan ceramah berkaitan politik
ketika berada di dalam dewan solat.
Beberapa gambar kehadiran wakil rakyat PKR itu turut tersebar sehingga menimbulkan perasaan tidak puas hati pelbagai pihak.
Bagaimanapun jelas Azmin, Sivarasa bukan mewakili beliau di majlis
berkenaan tetapi ia adalah majlis anjuran pejabat ahli parlimen itu
sendiri.
Semalam, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Haris Kasim
dilaporkan sebagai berkata Sultan Sharafuddin murka dan dukacita
terhadap tindakan Sivarasa yang didakwa memberi ceramah berkaitan
politik di masjid berkenaan.
Menurut Haris, perkara itu dimaklumkan kepadanya secara peribadi oleh
baginda sendiri yang turut menitahkan supaya JAIS mengambil tindakan
segera terhadap nazir serta pihak penganjur.
Sivarasa dalam reaksinya menafikan menyampaikan ceramah berunsur
politik, sebaliknya berkata beliau hanya menyampaikan ucapan ringkas
mengenai komitmen kerajaan Selangor untuk terus membimbing institusi
surau dan masjid di negeri berkenaan.
Ujarnya juga, kehadirannya di masjid itu disalahertikan sesetengah pihak.
Menurutnya, beliau hadir untuk menyampaikan sumbangan RM71,000 bagi
diagihkan kepada surau dan masjid di kawasan parlimen berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.