PUTRAJAYA: Sebanyak tujuh produk kosmetik dikesan mengandungi racun
berjadual iaitu Night Glowing, Night Glow, Glowing Speed Gold Day Cream,
Glowing Speed Gold Night Cream, Qu Gebu AP Krim, Nour Ain Night Cream
dan Royal Expert Whitening Cream.
Nama pemegang notifikasi bagi produk Night Glowing dan Night Glow
adalah Ezzuriche Wellness; Glowing Speed Gold Day Cream, Glowing Speed
Gold Night Cream (Babiez Glow Skincare); Qu Gebu AP Krim (Vida Beauty);
Nour Ain Night Cream (Elsuhaz (M) Sdn. Bhd.) dan Royal Expert Whitening
Cream (Ortus Experts Cosmetics Sdn. Bhd.)
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata,
racun-racun berjadual yang dikesan di dalam produk-produk berkenaan
adalah merkuri, hydroquinone dan tretinoin.
Menurut Noor Hisham, produk yang mengandungi hydroquinone dan tretinoin
adalah merupakan produk farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan Pihak
Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat
profesional kesihatan.
“Produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan hydroquinone boleh
menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan
warna kulit yang tidak diingini, malah kulit menjadi hipersensitif.
“Penggunaan tretinoin tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh
menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa,
pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari,” katanya
dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan merkuri boleh
memudaratkan kesihatan kerana merkuri yang terkandung dalam produk
kosmetik boleh menyerap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan
pada buah pinggang dan sistem saraf. Ia juga boleh menganggu
perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum
dilahirkan.
“Selain itu, kesan mudarat akibat pendedahan kepada merkuri boleh juga
dialami oleh orang sekeliling terutamanya kanak-kanak apabila produk
kosmetik yang mengandungi merkuri yang disapu pada kulit meruap dan
dihidu.
“Bayi dan kanak-kanak kecil boleh terdedah kepada merkuri apabila
mereka menyentuh produk kosmetik yang mengandungi merkuri atau orang
yang menggunakan produk kosmetik tersebut dan kemudiannya memasukkan
jari-jari mereka ke dalam mulut. Penggunaan produk yang mengandungi
merkuri boleh juga menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada
kulit,” jelasnya.
Noor Hisham menegaskan, penjual dan pengedar produk-produk kosmetik ini
diberi amaran untuk menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk
kosmetik tersebut dengan serta-merta kerana penjualan dan pengedaran
produk-produk kosmetik tersebut melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan
Dadah dan Kosmetik 1984.
“Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini
boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak
melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda
tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau
kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya.
“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga
RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk
kesalahan berikutnya,” ujarnya.
Beliau menasihatkan orang ramai yang sedang menggunakan produk-produk
kosmetik itu dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan
mendapatkan nasihat dari ahli profesional kesihatan jika mengalami
sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.
Sebarang pertanyaan berkaitan produk kosmetik boleh diemel kepada
kosmetik@npra.gov.my atau menghubungi talian 03-78835400. Pengguna dan
orang ramai adalah dinasihatkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu
produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA
http://npra.moh.gov.my/ - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.