Oleh Abdul Rahman Malik
[ULASAN]
Solidariti dalam Pakatan Harapan nampaknya goyah apabila memasuki zon
membentuk persepsi bahawa ia mampu menawarkan pimpinan lebih ampuh,
kreatif dan berwibawa berbanding Umno-Barisan Nasional.
Sebaik sahaja PKR mencuit isu berkenaan dalam Kongres Kebangsaannya
minggu lalu, terburailah ikatan lesu di antara PKR dan PPBM yang
dipimpin oleh mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ada
pihak berpandangan bahawa menyelitkan agenda menayangkan poster ‘Anwar
PM ke-7’ dalam kongres berkenaan adalah ‘perangkap’ PKR bagi menduga
pemikiran Mahathir dalam isu siapa Perdana Menteri PH.
Namun Mahathir lebih cekap. Beliau cuma bermain dengan telefon
bimbitnya merakamkan keghairahan PKR mahu Anwar Ibrahim menjadi perdana
menteri. Ada dalam PKR tersinggung dengan gelagat Mahathir tidak
menghormati majlis PKR itu.
Bagaimanapun ramai juga di luar kongres yang bersimpati dan memuji
Mahathir yang secara spontan ‘melepaskan diri’ daripada lilitan protokol
politik PKR itu.
Sebenarnya, perangkap PKR sudah diletakkan di pintu masuk dewan
persidangan lagi. Tetamu dan perwakilan disuguhkan dengan petisyen
melalui tandatangan menyokong pembebasan Anwar Ibrahim.
Mahathir menurunkan tandatangannya; mungkin atas dasar muhibah dan
menghormati majlis. Bagaimanapun dalam ‘drama’ mahu Anwar menjadi
perdana menteri, Mahathir menepis. Beliau memilih merakamkan sahaja
percubaan ‘nakal’ PKR itu.
Di segi teknikalnya, Mahathir memang tidak ada banyak alasan untuk
tidak menyokong pemilihan Anwar sebagai calon perdana menteri jika PH
menang PRU ke-14.
Ini kerana Pakatan Rakyat yang memasuki metamoforsis politik menjadi
Pakatan Harapan dengan pertukaran anggota daripada PAS kepada Amanah
sudahpun mempunyai ketetapan memilih Anwar sebagai calon perdana
menteri.
Dalil paling ketara ialah dalam ‘permainan persepsi’ minggu lalu itu,
Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Presiden Amanah dengan riang turut
menjunjung poster berkenaan kerana ini adalah kunci pemuafakatan.
Justeru apabila PPBM memilih menyertai PH, ia haruslah akur bahawa PH
sudah ada calon Perdana Menteri kerana itu sudah jadi ‘ketetapan
politik’.
PKR lekas-lekas buat pusingan U
Namun PPBM yang dipimpin Mahathir bukan parti politik biasa. Ia mahu
terbabit dalam politik negara mengikut keperluan dan keselesaannya.
Gagalnya Mahathir mengangkat poster berkenaan adalah lambang betapa jelasnya Mahathir tidak mahu Anwar menjadi calon berkenaan.
Langkah Mahathir ini ada kesannya. Ketua Setiausaha Sekretariat PH,
Datuk Saifuddin Abdullah yang juga ahli PKR segera membuat U-turn dan
mengakui kempen poster itu adalah cadangan di peringkat PKR sahaja.
"PH belum pernah berbincang mengenai jawatan tersebut. Namun, PKR
secara jelas menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ada juga parti dalam
PH yang menyokong idea itu.
Bentakan
senyap Mahathir berkesan. Maka tampil pula Naib Presiden PKR, Rafizi
Ramli, cuba mencuri mata dalam perang persepsi dengan mengumumkan
dapatan jentera penyelidikannya, INVOKE.
Katanya, INVOKE mendapati bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak
masih menjadi pilihan berbanding pemimpin Pakatan Harapan (PH).
Satu kaji selidik terhadap 17,962 orang responden mendapati 31 peratus
memilih Najib, 28.5 peratus memilih calon dari PH manakala 6.1 peratus
memilih Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Manakala, 34.4 peratus daripada responden berkenaan tidak menjawab.
Dalam pada itu, daripada lapan calon pemimpin PH, Anwar Ibrahim menjadi
pilihan utama di kalangan penyokong pembangkang untuk menjadi perdana
menteri.
Kaji selidik menerusi telefon itu meletakkan Presiden PAS Datuk Seri
Abdul Hadi Awang di tempat kedua manakala Pengerusi Parti Pribumi
Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad sekadar di tangga
ketiga.
Hampir 6,200 atau 34.6 peratus daripada 18,000 responden yang menjawab
soalan berhubung pilihan mereka sebagai perdana menteri memilih pemimpin
pembangkang.
Daripada jumlah itu, 23.5 peratus memilih Anwar, 17.6 peratus memilih Hadi, manakala 16.5 peratus memilih Mahathir.
Mungkin Rafizi berkira bahawa laporan lagak saintifik ini adalah
‘perang persepsi’ yang tidak akan dipertikaikan. Namun tidak dengan
Mahathir. Beliau secara sinis berkata kajian itu sebagai 'syok sendiri'.
"Bila menang boleh buatlah. Kalau tak menang, bubuh nama, itu syok
sendiri," katanya sambil menegaskan senarai nama itu tidak bermakna
sekiranya pembangkang gagal menang pilihan raya akan datang.
PKR perlu belajar strategi Mahathir dalam berpolitik
Nampaknya, Rafizi Ramli dan Saifuddin Nasution perlu merapati Mahathir
demi menimba lebih banyak strategi perang persepsi ini. Ketegasan dan
keberanian lebih mudah memaut hati rakyat berbanding perangkaan. PKR
tidak bijak membiarkan ahli lantikan politiknya di Kelantan
terkatung-katung kerana ‘emosi politik’ yang berlebihan.
Sementara
itu PAS pula merintis jalan sendiri. Ia enggan mengamalkan politik
‘persepsi'. Ia memilih keberanian, ketegasan dan kematangan berbanding
bermain persepsi.
Naib Presidennya, Idris Ahmad berkata, PAS kini berusaha mendekati
penyokong parti pemerintah agar golongan tersebut memahami apa yang
diperjuangkan PAS.
"Dulu kita gemar 'bom' isu panas mengaitkan Umno atau BN tetapi
sekarang kita sedar itu bukan cara yang betul. Justeru, ketika ini kita
cuba dekat dengan mereka supaya menerima pembawaan kita sedikit demi
sedikit," katanya.
Bagaimana PKR… ikut Mahathir atau PAS?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.