Jabatan agama Islam membuat tangkapan kepada umat Islam yang tidak berpuasa dan makan di khalayak ramai di bulan Ramadhan, jika tidak agama ini tidak lagi dihormati
KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin disarankan untuk mendapatkan nasihat daripada tokoh agama atau mufti kerana dilihat keliru apabila berkata umat Islam yang tidak melaksanakan puasa di bulan Ramadhan tidak perlu ditangkap.
Menurut penulis blog Shahbudin Husin menyifatkan, tangkapan yang dibuat adalah terhadap umat Islam yang makan di khalayak ramai secara bebas di bulan yang mulia ini dalam masa sama jabatan agama sama sekali tidak mengabaikan tugas untuk memberikan bantuan kepada golongan asnaf.
“Jabatan agama memang tidak mengabaikan peranannya membantu golongan asnaf atau membuat perkara-perkara yang baik, bahkan ia boleh dikatakan berterusan dilakukan.
“Dalam soal menangkap mereka yang ponteng puasa, ia dijalankan kerana mereka yang terbabit didapati makan di khalayak ramai atau di tempat yang terbuka, bukannya dengan cara melakukan serbuan ke pejabat, rumah, bilik hotel atau sebagainya.
“Dalam hal-hal berkaitan agama ini, ada baiknya, kalau pun KJ mungkin agak keberatan untuk mendapat nasihat daripada tokoh agama atau mufti berkaitan perkara-perkara kurang difahaminya, setidak-tidaknya beliau bolehlah bertanya kepada bapa mertuanya sendiri, Abdullah Badawi yang tentunya lebih mengetahui daripadanya,” katanya.
Tambah Shahbudin, agama Islam tidak lagi akan dihormati sekiranya penguatkuasa tidak melakukan tangkapan kepada umatnya yang tidak berpuasa sekaligus menggalakkan gejala yang lebih buruk di bulan Ramadhan.
“Bayangkan jika tidak dilakukan tangkapan atau penguatkuasa tidak dijalankan dan orang yang tak puasa dengan bebas makan, minum atau menghisap rokok di khalayak ramai, apakah rupa Islam itu sendiri akhirnya?
“Sudah tentu Islam bukan saja tidak lagi dihormati, malah keindahan Islam dan kemurnian bulan Ramadan yang datang setahun sekali juga dengan mudah dicemar secara terbuka. Janganlah keliru bro!!,” jelasnya.
Semalam KJ menulis di Twitter bahawa walaupun umat Islam diminta mematuhi lima rukun Islam termasuk berpuasa pada Ramadan, tidak ada peruntukan bagi pihak berkuasa untuk mengawasi mereka yang tidak berpuasa.
“Wajib anda patuhi rukun yang lima. Tidak wajib untuk orang tangkap kamu kerana tidak melakukannya,” kata Khairy.
Tambah Ketua Pemuda Umno itu, sumber penguatkuasaan sepatutnya digunakan untuk membantu mereka yang miskin dan memerlukan.
Justeru, KJ memaklumkan akan mengadakan berbincang mengenai perkara itu dengan menteri bertanggungjawab terhadap Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim).
Tweetnya itu mendapat retweet hampir seribu kali.
Bernama semalam melaporkan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) akan mengadakan operasi harian Ramadan untuk mencegah umat Islam di negeri ini makan, minum dan merokok di tempat awam pada siang hari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.