Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Jangan kaitkan PAS dengan insiden Pegawai Penerangan Ketua
Menteri Pulau Pinang, Mejar Zaidi Ahmad ditampar ketika himpunan aman
anjuran sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri itu, Jumaat
lalu.
Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Fauzi Mohd Yusof berkata himpunan aman
itu memang dipimpin oleh bekas Ketua Pemuda PAS negeri itu, namun ia
tidak bermakna Mohamed Hafiz Mohamed Nordin mewakili parti PAS.
Malah Fauzi memberitahu sejak Hafiz tidak lagi memegang sebarang
jawatan dalam PAS, bekas pemimpin parti itu amat dikenali sebagai
pemimpin Jaringan Muslimin Pulau Pinang (JMPP).
"Pasal apa nak kait dengan PAS. Isu yang berlaku semua orang tahu dah,
isu yang mereka tuntut berkenaan dengan fatwa. Jadi isu ini memanaskan
umat Islam termasuk NGO-NGO. Jadi NGO dia bertindak sendiri, tiada
berkaitan dengan PAS.
"Kita tidak ada kena mengena dengan NGO itu. Itu NGO punya. Ustaz Hafiz
ini bukan baru, dia ini. Dia bekas Ketua Pemuda lama dah. Dia dah
diketahui terlibat dengan NGO," katanya ketika dihubungi Antarapos hari
ini.
Usai solat Jumaat minggu lalu, video Zaidi ditampar oleh seorang penyokong JMPP tular di laman sosial.
Zaidi dikasari selepas dikatakan cuba membuat provokasi ketika Hafiz
sedang berucap di luar Masjid Simpang Enam, bagi membantah campurtangan
kerajaan negeri dalam urusan fatwa oleh muftinya.
Zaidi ketika ditemui pemberita berkata beliau hanya bertanyakan soalan namun dikasari seorang daripada penyokong NGO itu.
Beliau bagaimanapun tidak bercadang untuk mengambil tindakan terhadap individu itu.
Selepas video Zaidi tular, banyak pihak menyatakan rasa kurang senang dan ada yang mengaitkan insiden itu dengan PAS.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.