ANTARAPOS.COM
SHAH ALAM: Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli mahu parti mengambil
tindakan 'menjarakkan diri' dari dari kemelut yang membelenggu Ketua
Angkatan Muda Keadilan Ampang, Datuk Adam Rosly.
Menurut Rafizi, parti perlu memutuskannya segera selepas isu
membabitkan pemimpin muda itu dijadikan modal oleh musuh politik mereka
untuk turut sama mengheret nama PKR.
"Oleh itu, satu tindakan yang menjarakkan PKR sebagai parti dari
kemelut peribadi Saudara Adam Rosly ini perlu diputuskan segera
terutamanya dalam keadaan PRU14 boleh dipanggil pada bila-bila masa.
"Oleh sebab itu juga, saya dan rakan-rakan pimpinan yang lain akan
mengusulkan supaya satu tindakan diambil yang boleh menjarakkan kemelut
peribadi beliau dari mengheret PKR dan Pakatan Harapan.
"Sama ada melalui keputusan bersama kepimpinan PKR untuk membolehkan
beliau (Saudara Adam Rosly) 'bercuti' dari jawatan parti sehingga kes
beliau selesai, atau melalui kaedah Lembaga Disiplin seperti yang
disuarakan oleh Dato’ Seri Azmin Ali, Timbalan Presiden," katanya dalam
satu kenyataan.
Adam, 28, pada Jumaat lalu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur
atas enam pertuduhan memberi keterangan dan dokumen palsu kepada
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kekayaan luar
biasa beliau.
Beliau didakwa di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram,
Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram
(AMLATFPUAA) 2001.
Pemimpin muda itu dibebaskan selepas membayar wang jaminan RM300,000.
Sebutan kes beliau ditetapkan pada 29 Mei ini.
Dalam pada itu, Rafizi mengulangi pendiriannya mengenai keperluan untuk
Adam mengisytiharkan harta secepat mungkin bagi menjernihkan keadaan.
"Ada perbezaan di dalam parti apabila ada yang beranggapan beliau tidak
perlu mengisytiharkan harta kerana tidak menjawat sebarang jawatan
kerajaan.
"Saya telah menyatakan bahawa saya tidak bersetuju dengan pandangan itu
kerana piawai moral dan keamanahan yang dipegang PKR mestilah lebih
tinggi dari parti-parti lain.
"Sama ada seseorang itu menjawat jawatan awam atau tidak, seseorang
yang memegang jawatan parti tidak boleh dilihat mengumpul kekayaan yang
tidak boleh diterangkan kepada rakyat.
"Maka, jika kekayaan itu dikumpul secara sah dan tanpa melibatkan
kepentingan awam, saya yakin mana-mana pimpinan dalam parti ini boleh
mengisytiharkan harta dengan mudah," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.