Roketkini.com
BATU PAHAT: Pembatalan kali kedua permit polis bagi
penganjuran debat mengenai 1MDB yang menampilkan Tun Dr. Mahathir
Mohamad dan Datuk Seri Nazri Aziz membuktikan ketakutan UMNO-Barisan
Nasional (BN) terhadap rakyat.
Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, UMNO-BN di bawah
kepimpinan Datuk Seri Najib Razak takut untuk berdepan dengan tuntutan
rakyat yang mahukan kebertanggungjawaban dan kebenaran dalam skandal
1MDB.
“Najib tidak ada jawapan terhadap tuntutan rakyat (berhubung 1MDB)
dan tidak mampu untuk membersihkan Malaysia daripada sumpahan, keaiban,
dan rasa malu akibat digelar seluruh dunia sebagai kleptokrasi global,”
katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah menyeru
rakyat yang mahu skandal 1MDB disiasat secara menyeluruh agar mengundi
Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Debat antara bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir dan Menteri
Pelancongan dan Kebudayaan, Nazri Aziz sepatutnya diadakan di Padang
Rengas, Perak, pada 25 Mac lalu.
Bagaimanapun, acara debat yang dikatakan bakal berlangusung di Maktab
Rendah Sains Mara Kuala Kangsar itu tidak terjadi ekoran polis enggan
membenarkannya atas faktor keselamatan, ketenteraman awam, perlindungan
hak dan kebebasan orang ramai.
Akhbar Kumpulan Media Karangkraf, Sinar Harian, kemudiannya
menawarkan diri sebagai penganjur. Polis memberi kebenaran untuk
mengadakan majlis “dialog” itu pada 27 Mac secara bersyarat dan
dijadualkan berlangsung pada 7 April ini.
Syarat itu menetapkan hanya 300 penonton dibolehkan menghadiri majlis
tersebut di mana 100 jemputan adalah daripada pihak Tun Mahathir, 100
daripada pihak Nazri Aziz dan selebihnya daripada pihak penganjur.
Bagaimanapun, Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk
Hussamuddin Yaacob dalam akaun Twitter semalam memaklumkan mengenai
pembatalan permit.
“Pelik, dialog Tun M vs Ds Nazri, semalam kami terima surat lulus
permit. Petang ni terima surat batal permit. Payah!!” katanya. –
Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.