Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Timbalan Presiden Parti Bebas Rasuah (PBR) Datuk Seri
Khairudin Abu Hassan mendakwa, Datuk Huan Cheng Guan dan Datuk G Kumar
Aamaan sengaja melakukan sabotaj untuk menggagalkan pelantikan beliau
dan Datuk Mohd Ezam Mohd Nor sebagai kepimpinan baru Parti Generasi Baru
(NewGen Party).
Malah beliau menegaskan bahawa pelantikan Datuk Mohd Ezam Mohd Nor
menyandang jawatan Presiden dan beliau sebagai Timbalan Presiden telah
dibuat mengikuti lunas undang-undang Pendaftar Pertubuhan (RoS).
"Setiap peraturan serta undang-undang Pendaftar Pertubuhan telah
dipatuhi sebelum kami berdua dilantik untuk menerajui kepimpinan baru
parti ini," katanya dalam satu kenyataan media.
Kenyataan yang dibuat Khairudin ini merujuk kepada dakwaan yang dibuat
kepimpinan asal Parti Generasi Baru (NewGen Party) semalam, yang
mendakwa beliau dan Ezam 'merampas' parti berkenaan dan menukar namanya
kepada PBR.
Tambah Khairuddin lagi, beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan pihak
Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk menimbang perkara ini dan membuat
keputusan.
"Namun, saya amat bersetuju dengan kenyataan Datuk Mohd Ezam Mohd Nor
bahawa kami akan serahkan kepada RoS untuk meneliti tuduhan tanpa asas
dan fitnah ini seterusnya membuat keputusan secara telus, adil serta
saksama.
"Apa-apa keputusan yang bakal dibuat oleh pihak RoS akan kami hormati
kerana Datuk Mohd Ezam Mohd Nor, saya dan keseluruhan anggota majlis
tertinggi parti amat menghormati 'the rule of law'," ujar beliau lagi.
Dalam pada itu Khairudin berkata, sekiranya keputusan memihak kepada
mereka, PBR tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang
terhadap Cheng Guan dan Kumar.
Kumar dalam satu sidang media mendakwa pertukaran itu telah dilakukan
tanpa pengetahuannya selaku Presiden, selain tidak melalui mesyuarat
atau notis serta tanpa persetujuan lebih 300 ahli.
Menurut Kumar, pengumuman yang dilakukan pada hujung Mac lalu oleh
S.Gobi Krishnan, yang kini merupakan salah seorang pengasas PBR, adalah
satu pelanggaran perlembagaan parti ekoran melantik jawatankuasa baharu
tanpa memberi notis panggilan mesyuarat kepada Presiden.
Malah katanya, Gobi Krishnan juga telah digantung keahliannya sebagai Setiausaha Agung Parti Generasi Baru pada bulan lalu.
Terdahulu pada 31 Mac lalu, Gobi mengumumkan pertukaran nama NewGen
Party kepada PBR, selain turut mengumumkan pelantikan ahli jawatankuasa
eksekutif pusat yang baru.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.