ANTARAPOS.COM
PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia akan mewajibkan semua warga Korea Utara
untuk memohon visa sekiranya ingin memasuki negara ini, berkuatkuasa 6
Mac.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata,
keputusan yang akan diwartakan segera itu dibuat selepas mengambil kira
faktor keselamatan negara sebagai keutamaan.
"Diharap langkah Kementerian Dalam Negeri (KDN) ini akan dilaksanakan
oleh Jabatan Imigresen demi keselamatan negara," katanya yang juga
Menteri Dalam Negeri pada sidang media selepas majlis Anugerah
Perkhidmatan Cemerlang KDN di sini, hari ini.
Ketetapan ini besar kemungkinan mempunyai kaitan dengan kematian Kim
Jong-nam yang juga abang tiri pemimpin Korea Utara dalam insiden
pembunuhan di KLIA2 pada 13 Februari lalu, selain pelbagai isu yang
timbul akibat tindakan negara itu yang enggan memberi kerjasama untuk
membantu melengkapkan siasatan kes berkenaan.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, beliau akan diberi taklimat oleh
penasihat perundangan Kementerian Dalam Negeri dan pejabat Peguam Negara
berhubung status pakar kimia yang ditahan berhubung kematian Jong-nam.
"Kita akan tahu dalam beberapa jam lagi sama ada lelaki berkenaan akan
dibebaskan atau siasatan akan dijalankan mengikut Akta Imigresen atau
dihantar pulang," katanya.
Menurut laporan yang disiarkan, warga Korea Utara, Ri Jong Chol itu
dijangka dibebaskan apabila tempoh tahanan remannya tamat Jumaat ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.