Rabu, 1 Mac 2017

Kaum Cina tetap undi PAS, kata Iskandar Samad

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS Selangor percaya dapat mempertahankan sokongan bukan Melayu, terutamanya kaum Cina dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
 
Pesuruhjaya PAS negeri Datuk Iskandar Abdul Samad yakin dengan imej PAS, yang kini bukan lagi menjadi 'kuda tunggangan' mana-mana pihak.
 
Selain prestasi baik yang ditonjolkan wakil rakyatnya menjadi kunci kepada kemenangannya, meskipun tidak lagi bekerjasama dengan parti-parti politik pembangkang terbesar.
 
"Kami yakin dengan peningkatan undi orang Melayu selepas melancarkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera.
 
"Orang Melayu juga tidak lagi melihat PAS sebagai tunggangan mana-mana parti dan tegas memperjuangkan isu-isu yang melibatkan umat Islam.
 
"Kami juga yakin dapat mengekalkan sebahagian besar undi orang Cina yang pernah kami perolehi berdasarkan rekod baik wakil-wakil rakyat kami," katanya kepada Antarapos.
 
Iskandar berkata demikian mengulas dakwaan PAS akan kehilangan sekurang-kurangnya sepuluh kerusi DUN Selangor dalam pilihan raya akan datang.
 
Situasi itu bakal dihadapi PAS setelah hilangnya sokongan pengundi bukan Melayu, khususnya kaum Cina.
 
Dakwaan itu dilaporkan menerusi analisis dalam akhbar harian Cina, Oriental Daily dengan menambah situasi buruk itu terjadi selepas PAS enggan mengadakan kerjasama dengan DAP dan Amanah.
 
Lebih lanjut Iskandar menegaskan PAS tetap menjadi pilihan pengundi meskipun berlakunya pertembungan lebih dari dua kerusi.
 
"Kami juga yakin rakyat tetap akan memilih PAS jika berlaku tiga penjuru iaitu terdapat pihak ketiga mengacau kerusi-kerusi PAS.
 
"Saya yakin rakyat faham jika berlaku perpecahan undi maka Umno-Barisan Nasional (BN) akan menang," tegasnya.
 
PAS sebelum ini berulang kali menegaskan tetap mempertahankan kerusi-kerusi yang ditandingi dalam pilihan raya sebelum ini, meskipun parti serpihannya, Amanah menyatakan minat untuk bertanding di kerusi yang sama.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.