ANTARAPOS.COM
KUALA LUMPUR: Kabinet hari ini meluluskan cadangan Rang Undang-Undang
Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said,
berkata rang undang-undang itu akan dibentang di Dewan Rakyat untuk
bacaan kali pertama pada minggu hadapan.
Sehubungan itu, beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Razak kerana membuka jalan dan membentuk pasukan khas bagi
menangani isu jenayah seksual kanak-kanak.
"Rang undang-undang baharu ini memperuntukkan mengenai kesalahan
seksual terhadap kanak-kanak tertentu dan hukumannya sebagai tambahan
dalam perundangan sedia ada.
"Rang undang-undang ini penting untuk menangani kes kesalahan seksual
yang semakin serius dilakukan terhadap kanak-kanak di Malaysia.
"Ia juga bertujuan meningkatkan pelindungan bagi kanak-kanak daripada
penjenayah seksual serta menjaga kebajikan kanak-kanak," katanya dalam
satu kenyataan.
Azalina berkata, Seminar Kebangsaan Jenayah Seksual Kanak-Kanak:
Hentikan!!! anjuran PERMATA yang berlangsung pada 13 dan 14 Mac lalu
juga membuka mata ramai pihak mengenai keperluan akta itu.
Najib ketika merasmikan seminar berkenaan berkata, rang undang-undang
itu memerlukan sokongan semua anggota Parlimen, tanpa mengira fahaman
politik untuk menangani jenayah itu.
Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga Oktober tahun lalu
menunjukkan sebanyak 12,025 kes jenayah seksual membabitkan kanak-kanak
di bawah umur 18 tahun dan angka itu meningkat saban tahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.