Ahad, 5 Februari 2017

Selepas dimarahi, Ku Nan beri alasan tak berasas, kata Ramkarpal

 
Ahli Parlimen DAP itu berkata Tengku Adnan mencari alasan apabila hasrat menjadikan Pulau Pinang sebahagian Wilayah Persekutuan mengundang kemarahan orang ramai


ramkarpal-tengku-adnan


PETALING JAYA: Ahli Parlimen Bukit Gelugor menolak dakwaan Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Mansor yang mendakwa “kerajaan Pulau Pinang tidak pedulikan orang Melayu”.

Menyifatkan dakwaan itu cuma alasan, Ramkarpal Singh berkata Tengku Adnan tidak pun menyebut mengenai nasib orang Melayu dalam temubual stesen radio BFM.

“Idea menjadikan Pulau Pinang sebahagian Wilayah Persekutuan untuk membantu orang Melayu alasan yang tidak masuk akal dalam usaha menjawab kemarahan terhadap kenyataan asal beliau,” kata Ramkarpal.

Beliau merujuk kepada laporan semalam yang memetik Tengku Adnan sebagai berkata idea itu bukan bertujuan meluaskan kuasa ke negeri itu tetapi untuk membantu orang Melayu.

Tengku Adnan dilaporkan berkata: “Apa yang berlaku di Pulau Pinang kita tahu, dia (kerajaan negeri) tidak pedulikan orang Melayu”.

“Dakwaan mengatakan kerajaan Pulau Pinang mengabaikan orang Melayu suatu dakwaan yang serius dan jika ada sedikit pun kebenaran dalam dakwaan itu, sudah tentu Tengku Adnan akan menyatakan ia sebab utama idea menjadikan Pulau Pinang sebahagian Wilayah Persekutuan semasa ditemubual dan bukannya beberapa hari kemudian,” kata Ramkarpal.

Pemimpin DAP itu menepis dakwaan Tengku Adnan sebagai tidak berasas.

Tambahnya warga Pulau Pinang menolak idea itu sama sekali dan mencabar menteri supaya mengadakan referendum mengenai hasrat itu.

Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng serta pimpinan DAP negeri lain membantah hasrat Tengku Adnan dalam rancangan radio Breakfast Grille, untuk menjadikan Pulau Pinang, Langkawi, Pulau Tioman dan sebahagian Melaka sebahagian Wilayah Persekutuan.

Temubual disiarkan pada 1 Februari lalu sempena Hari Wilayah Persekutuan.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.