Sabtu, 4 Februari 2017

Hati-hati dengan individu menyamar pegawai SPRM

ISMA WEB
 


PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menasihati orang ramai agar berhati-hati dengan individu-individu yang menyamar sebagai pegawai SPRM.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata, pihaknya menerima banyak maklumat bahawa individu-individu ini mendakwa diri mereka kononnya boleh menyelesaikan kes-kes SPRM.

“SPRM telah mengenal pasti beberapa individu yang terlibat dalam perbuatan tidak beretika itu yang boleh menjejaskan imej SPRM.

“Individu-individu ini dipercayai telah menggunakan nama pegawai kanan SPRM dan meminta sejumlah wang bagi tujuan menyelesaikan kes-kes tersebut.

“Individu-individu terbabit mendakwa mereka boleh menyelesaikan kes-kes SPRM yang masih dalam siasatan, perbicaraan mahkamah serta membersihkan nama mereka yang terdapat dalam senarai siasatan SPRM,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Sehubungan itu, Azam berkata, SPRM berharap agar orang ramai tidak terperdaya dengan dakwaan seperti itu dan meminta mereka menghubungi SPRM terlebih dahulu untuk mengesahkan perkara tersebut.

Katanya, SPRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang menyalahgunakan nama pegawai-pegawai SPRM bagi kepentingan diri sendiri dan siasatan akan dijalankan bagi membolehkan SPRM mengambil tindakan ke atas mereka.

“Mana-mana individu yang terlibat gagal melaporkan perkara tersebut kepada SPRM, tindakan akan diambil ke atas mereka atas kesalahan bersubahat,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.