MT Webmaster
(Sinar Harian) – Selepas menyatakan keinginannya untuk bekerjasama
dengan Pas dua hari lalu, kini Penasihat DAP, Lim Kit Siang bersedia
untuk berjumpa MCA dan Gerakan bagi tujuan yang sama.
Kit Siang berkata, beliau bersedia dalam tempoh 72 jam dari hari ini
untuk berjumpa dengan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan
Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong bagi membincangkan cara
untuk membebaskan Malaysia daripada menjadi kleptokrasi dunia.
Menurutnya, menyelamatkan Malaysia sebagai sebuah negara yang gagal
adalah agenda negara bagi tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
“Tujuan saya hanya mahu menyelamatkan Malaysia dari terus menjadi
negara gagal. Saya beri tempoh kepada MCA dan Gerakan bermula hari ini
(semalam) jam 12 tengahari hingga 27 Januari ini (sempena sambutan Hari
Raya Cina). Saya akan tunggu.
“Pertemuan itu diharap dapat membincangkan bagaimana DAP bersama MCA
dan Gerakan boleh bekerjasama untuk kepentingan negara bagi
membebaskannya daripada kleptokrasi dunia. Saya harap perkara ini dapat
dipenuhi. Persoalannya, adakah MCA dan Gerakan perlu mendapat kebenaran
Umno terlebih dahulu sebelum berjumpa saya?” katanya kepada media.
Mengulas berhubung dakwaan beberapa pihak kononnya tindakan DAP itu
sebagai membuat pusingan U, Ketua Ahli Parlimen DAP itu berkata, dakwaan
itu hanya dari mereka yang berfikiran sempit.
Terdahulu, Kit Siang menyatakan kesediannya untuk berbaik semula
dengan Pas apabila ingin berjumpa dengan presiden parti Islam itu, Datuk
Seri Abdul Hadi Awang bagi tujuan sama.
Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata, kerjasama itu boleh
direalisasikan sekiranya Abdul Hadi sedia memberi komitmen untuk
menyelamatkan Malaysia daripada menjadi kleptokrasi dunia.
Sementara itu, menjawab soalan media sama ada beliau sudah berbincang
dengan kepimpinan Pakatan Harapan berhubung niatnya itu, Kit Siang
berkata, beliau tidak perlu berbuat demikian.
“Saya rasa tidak perlu berbincang untuk cadangan kerjasama dengan
Pas. Saya bukan boneka kepada mana-mana pihak termasuk Pengerusi Parti
Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad.
Cadangan untuk
adakan kerjasama dengan Pas dalam menghadapi Pilihanraya Umum ke 14
(PRU14) akan diteruskan walaupun ditentang Tun Mahathir.
“Saya rasa tidak perlu berbincang dengan beliau (Tun Mahathir) kerana
sememangnya kita bertentangan pendapat tentang sesetengah perkara
termasuk cadangan kerjasama dengan Pas ini,” katanya.
Kit Siang berkata, beliau juga tidak perlu mendapatkan persetujuan
daripada parti komponen Pakatan Harapan berhubung perkara itu.
Sebelum ini, Tun Mahathir yakin pakatan pembangkang tidak memerlukan Pas untuk mengalahkan BN dalam PRU-14.
Beliau berkata, Pakatan Harapan yang diketuai DAP dan turut
dianggotai PKR, Amanah dan PPBM itu sudah mencukupi untuk mengalahkan BN
dan Pas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.