Oleh Abdul Rahman Malik
[ULASAN] Tun Dr
Mahathir Mohamad tersudut oleh keceluparan mulutnya sendiri. Secara
langsung atau tidak beliau mengakui bahawa DAP pernah menyatakan hasrat
mengisi kerusi Timbalan Perdana Menteri, jika pembangkang menang.
Tidak
kiralah sama ada DAP membuat permintaan itu sesudah atau sebelum
Pakatan Rakyat terkubur ataupun setelah Pakatan Harapan (PH) terbentuk.
Yang penting umum tahu Mahathir cuma berbaik dengan DAP apabila sudah
menubuhkan sebuah parti pembangkang bernama Parti Pribumi Bersatu
Malaysia (PPBM).
Pasport merapatkan diri dengan pembangkang ialah dengan menarik balik
kepercayaannya sebelum ini bahawa DAP adalah sebuah parti rasis.
Alasannya ialah beliau baru tahu bahawa lirik lagu rasmi DAP berbahasa Malaysia!
Hakikatnya, setelah menyedari DAP tidak rasis, Mahathir mengadakan
rundingan khusus dengan penasihat DAP, Lim Kit Siang, mengenai siapa
bakal jadi perdana menteri dan timbalannya, jika pembangkang menang.
Tepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Mahathir mengakui benar DAP ada
membuat permintaan itu. Justeru demi Lim Kit Siang dan anaknya yang juga
Setiausaha Agung DAP mesti tampil menafikannya secara rasmi.
Keletah Mahathir menyusahkan DAP. Jika ia tidak, natijahnya boleh
menjejaskan wibawa DAP sendiri. Jika DAP tidak menafikannya bererti DAP
dan Mahathir memang ada pakatan sulit seperti didedahkan bekas Naib
Presiden DAP, Tunku Abdul Aziz.
Sebaliknya jika DAP menafikan bererti ia menuduh Mahathir berbohong.
Mungkin DAP tidak mahu memberi komen rasminya kerana “mahu menjaga air
muka” Mahathir.
Dalam pada itu, berpeluh Ketua Penerangan PPBM, Datuk Kamarudin Md Nor
cuba menafikan Mahathir tidak ada membuat kenyataan bahawa DAP ada
meminta diberikan kerusi Timbalan Perdana Menteri kelak.
Kata Kamarudin, Dr Mahathir hanya cuba 'mengimbau' perbincangan yang
pernah diadakan di antara PPBM dan DAP dan menegaskan tiada kata sepakat
berhubung isu berkenaan.
"Dr
Mahathir kata pernah DAP sebut soal jawatan Timbalan. Namun kita tak
setuju. Bukan sahaja DAP, MCA pun pernah minta dengan Umno untuk jawatan
Timbalan Perdana Menteri kedua.
"Tak semestinya mereka (DAP) minta (jawatan), mereka dapat.
"Kita sudah buat penjelasan bahawa tidak berbangkit soal kita melayan tuntutan DAP, ataupun MCA," katanya.
Ini mengusutkan keadaan kerana ia membuktikan bahawa memang benar
perundingan berhubung agenda berkenaan pernah berlaku di antara Mahathir
dan Kit Siang.
Hal ini tentu menggerunkan kerabat PH kerana ia mendedahkan cara
Mahathir melakukan rundingan politik. Dengan satu pihak dalam PH (iaitu
DAP) beliau tergamak berbincang isu sensitif itu di luar pengetahuan
kerabat politik lain.
PKR, Amanah lebih berwaspada
Jika itu bukan taktik “pecah-belah dan perintah” apakah namanya?
Justeru PKR dan Amanah seharusnya lebih berwaspada terhadap DAP dan PPBM
kerana ada bukti mereka melakar agenda lain sekiranya pembangkang
menang.
Namun
agak menyedihkan apabila pimpinan tertinggi PKR memilih berdiam diri.
Bagi PKR cuma Ketua Wanitanya, Zuraida Kamaruddin yang memberi komen
terhadap kenyataan Mahathir itu.
Katanya, jika sungguh DAP ada menyatakan demikian pada Mahathir, maka
PKR tidak mempunyai masalah kerana ia bersikap terbuka meraikan
kepelbagaian kaum yang terdapat dalam kalangan blok pembangkang.
“Ya (tiada masalah), atas dasar kita nak menunjukkan kita (meraikan) kepelbagaian kaum,” katanya.
Bagaimanapun Ahli Parlimen Ampang itu berkata, beliau tidak pernah mendengar DAP membuat permintaan berkenaan.
"Pada prinsipnya saya tidak nampaklah ada permintaan daripada DAP yang
dikatakan parti Cina itu meskipun mereka sebenarnya parti berbilang
kaum, tidak pernah kita dengar mereka menyatakan hasrat itu.
"Tapi kita sebagai satu pakatan pembangkang yang berbilang kaum, kita
alu-alukan kombinasi untuk kepentingan masyarakat berlainan (kaum).
"Kita dalam Pakatan ini memang mempertimbangkan kemungkinan benda-benda
macam begini. Tapi mereka (DAP) tidak mintalah," katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali seperti
lazimnya akan “berlepas tangan” dengan membuat kenyataan klise jika
tersudut dalam persoalan politik.
Azmin berkata, keputusan menentukan siapa bakal menjadi perdana menteri
atau timbalannya bukan diputuskan oleh pembangkang. Sebaliknya Azmin
menyerahkan kepada rakyat membuat keputusan itu.
“Keputusan nanti ini melibatkan sistem demokratik. Bukan soal kita setuju atau tidak setuju.
"Kalau rakyat setuju, ini soal demokrasi. Rakyat yang akan menentukan
siapa yang menang dalam pilihan raya. Jadi kita kena menghormati
keputusan rakyat,” katanya.
Persoalannya ini bukan sahaja isu demokrasi. Ia adalah soal integriti
dan gelagat kerabat-kerabat politik PKR. Ia adalah satu konspirasi.
Setidak-tidaknya ia boleh dibaca percubaan menyorok hasrat DAP dari
pengetahuan pengundi Melayu dan dilihat Mahathir sedia membantu DAP
mencapai cita-citanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.