KUALA LUMPUR: Penasihat DAP Lim Kit Siang perlu membuktikan bahawa
beliau bukan seorang ahli politik yang bacul untuk meneruskan saman
terhadap Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menuduhnya
sebagai anti-Islam.
Menurut Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Datuk Dr. Mohd. Khairuddin
Aman Razali, parti sedia berdepan dengan saman itu dan yang menyerahkan
kepada rakyat untuk menilai sikap sebenar Ahli Parlimen Gelang Patah
berkenaan.
“PAS alu-alukan Kit Siang untuk saman, dia bacul kalau tidak saman.
Kemukakan saman kepada PAS sebelum pilihan raya umum akan datang.
“Rakyat akan menilai sikap sebenar Kit Siang yang memang anti kepada
Islam. PAS tidak takut untuk berdepan dengan Kit Siang di mahkamah,”
katanya dipetik sebuah akhbar.
Sebelum ini, Penasihat DAP itu menghulurkan salam perdamaian kepada Abdul Hadi atas alasan untuk menyelamatkan Malaysia.
Walau bagaimanapun, salam perdamaian itu ditolak oleh Abdul Hadi kerana
menurutnya, DAP tidak menyokong usaha PAS yang mahu mengukuhkan bidang
kuasa Mahkamah Syariah melalui pembentangan rang undang-undang berkaitan
di Parlimen.
Menurut Mohd. Khairuddin, Kit Siang perlu membuktikan bahawa beliau
tidak anti-Islam dengan menyokong usaha PAS mengukuhkan syariat Islam
melalui sokongan kepada Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang
Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016.
Dalam pada itu, Mohd. Khairuddin dalam satu kenyataan menegaskan,
syarat utama sebuah kerajaan Islam ialah perdana menteri, ketua menteri
atau menteri besar mesti beragama Islam.
Mohd. Khairuddin memberitahu, ini kerana pelaksanaan Islam di sebuah negara atau negeri tidak boleh bersifat tempelan.
Tambahan pula jelasnya, kekuasaan Islam tidak akan tertegak menerusi
seorang ketua menteri bukan Islam kerana ketiadaan akidah Islam tidak
akan menjamin pelaksanaan syariat Islam.
“Tidak boleh ketua negara, perdana menteri, menteri besar dan ketua
menteri seorang bukan Islam. Itu syarat utama sebuah kerajaan Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.