Ahad, 25 Disember 2016

MUJURLAH HANYA ADA SATU JAMAL....

shahbudindotcom


Pada mulanya saya agak malas untuk menulis mengenai Jamal Mohd Yunus yang sekali lagi menjadi percakapan ramai berikutan aksinya yang hanya bertuala kerana mahu menumpang mandi di pejabat Menteri Selangor di Shah Alam, baru-baru ini.

Hati kecil saya merasakan, Jamal sengaja berbuat sesuatu untuk menarik perhatian bagi tujuan yang dia saja yang tahu.

Tetapi, ramai rakan-rakan bertanyakan kenapa saya tidak mencuit walau sepatah pun tentang aksi terbaru Jamal itu. Dalam blog ini pun, ada juga yang meminta saya menulis mengenainya.

Untuk tidak menghampakan mereka, walaupun mungkin agak  terlewat dan isu berkaitan Jamal juga sudah mulai sejuk, saya akur akhirnya.

Sesiapa pun yang waras pasti akan mengatakan bahawa pemimpin politik, lebih-lebih lagi jika berjawatan Ketua UMNO Bahagian, bertitle Datuk Seri dan sedang melobi-lobi untuk bertanding dalam pilihanraya, tidak wajar sama-sekali berkelakuan sebegitu rupa. 

Perbuatan Jamal bertuala adalah kelakuan yang memalukan UMNO sebagai parti yang sudah lama berkuasa. Perlakuan Jamal hanya sesuai dilakukan oleh watak-watak jalanan yang tidak ketentuan kedudukan serta tarafnya.

Bagi pemimpin politik, akal dan fikiran haruslah mengatasi pertimbangan emosi dan perasaan. Membantah sesuatu isu, tidak menjadi kesalahan apa-apa, tetapi sampai sanggup bertuala, adalah keterlaluan dan seolah-olah sudah hilang pertimbangan akal fikiran.

Sebab itu, aksi Jamal tidak mendapar respon yang baik daripada UMNO dan para pemimpinnya. Saya cuba bercakap dengan beberapa kawan yang berjawatan dalam parti itu, semuanya terasa malu dan diaibkan dengan perlakuan Jamal itu.

Kata mereka, dalam kedudukan UMNO dan Najib Razak yang makin ditolak dan dipersoalkan, munculnya watak "badut"  seperti Jamal lebih menyukarkan lagi parti itu untuk mewajarkan perlunya ia terus disokong dan dikekalkan kuasanya.

Akan ada yang mempersoalkan, begitukah rupa wajah parti yang ingin diberikan kuasa?

Mujur hanya ada satu Jamal, kata mereka lagi.

Isu mengenai ketiadaan air baru-baru ini tidak seharusnya diprotes secara keterlaluan. Ia adalah berkaitan TNB yang perlu melakukan penyelenggaraan dan Syabas tidak dapat beroperasi dalam tempoh tidak lebih empat hari hanyalah kerana kerja-kerja itu terpaksa dijalankan dan tidak dapat ditangguhkan lagi.

Notis awal sudah pun diberitahu beberapa minggu sebelum itu, malah penghantaran air juga turut dilakukan. Apa yang perlu bagi setiap orang ialah melakukan penyediaan tong-tong dan simpanan air yang secukupnya sebagai bekalan. 

Lagi pun hanya Jamal saja yang kecoh-kecoh kerana tiada air dan kononnya tidak mandi sampai empat hari, rakyat yang lain, termasuk menteri-menteri, malah Najib dan Rosmah pun tidak mengomel walau sepatah pun tentang ketiadaan air itu.

Jamal juga terlihat tidak matang dan kebudak-budakan apabila beliau menyimbah air longkang kepada seorang perempuan yang datang ke rumahnya untuk tujuan menghantar air.

Jika beliau boleh beraksi "tak semenggah" dengan hanya bertuala ke pejabat rasmi kerajaan negeri, di mana kematangannya sehingga bertindak seperti samseng dengan orang-orangnya menyimbah air kotor kepada orang lain yang sekadar melakukan  reaksi kepada perlakuannya?

Kemudian apabila beberapa artis, termasuk Siti Nurhaliza dengan budi bahasa yang cukup tinggi menegur ketidakwajaran perlakuannya itu, Jamal sekali lagi memperihatkan watak tidak matangnya sebagai seorang pemimpin.

Komennya  berkaitan Siti Nurhaliza yang masih tidak mempunyai anak, bukan saja saja tersasar daripada perdebatan hujah lawan hujah, bahkan juga tentunya menyinggung perasaan ramai pasangan lain di negara ini yang tidak mempunyai zuriat.

Soal zuriat adalah soal rezeki, bukan soal tak cukup air atau tidak subur. Ada orang yang disahkan subur, tapi tetap tidak mempunyai anak dan ada juga orang yang tidak subur, tetapi akhirnya dapat memperolehi anak setelah melakukan pelbagai usaha, termasuk berdoa sehingga ke depan Kaabah.

Dengan komen Jamal itu, bukan saja peminat Siti Nurhaliza, bahkan ramai pasangan yang tersinggung dan terasa hati, mungkin mula menjarakkan diri daripada UMNO dan kerajaan.

Jamal juga sebenarnya tahu beliau ada masalah lesen berkaitan hotelnya di Sungai Besar. Mungkin juga beliau turut berdepan dengan perkara-perkara lain yang kita tidak tahu.

Biasanya, orang yang ada masalah hanya akan duduk diam-diam kerana apabila mereka mula membaling batu ke rumah orang lain, rumah kacanya juga akan dibalas dengan balingan batu yang sama.

Jamal tentu sedar perkara itu, tetapi mungkin dalam waktu yang sama beliau juga belajar daripada Annuar Musa yang tiba-tiba meletakkan jawatan dalam KAFA dan seterusnya disusuli persatuan bolasepak negeri itu mahu menarik diri daripada Liga Malaysia, tetapi kemudian sepantasnya datang "wahyu" daripada Najib yang seolah-olah mahu menawarkan bantuan segera.

Sama seperti Annuar Musa, Jamal juga adalah pemimpin UMNO yang sepertinya sudah bertekad "sanggup sehidup semati" untuk mempertahankan Najib.

Mana tahu, bantuan segera juga akan hadir buat Jamal tidak lama lagi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.