Jumaat, 23 Disember 2016

Laman web kritik 1MDB disekat

MALAYSIA TODAY


1mdb


(Sinar Harian) – SEKURANG-kurangnya 39 laman web termasuk yang menyiarkan kritikan terhadap isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan sentimen agama Islam  disekat oleh kerajaan sepanjang tahun lalu.

Ia adalah hasil laporan penyelidikan bersama yang dijalankan dua badan bukan kerajaan, iaitu Sinar Project dan Ooni yang bermula pada 24 September hingga 13 November tahun ini.

Menurut laporan Oriental Daily yang memetik hasil laporan bertajuk Perkembangan Penapisan Internet di Malaysia pada Februari tahun ini, laman web The Malaysia Insider dan Sarawak Report adalah antara yang paling awal dikenakan tindakan oleh pihak kerajaan.

“Walaupun kedua-dua laman web itu menyiarkan berita yang memetik daripada sumber lain, tindakan tetap dikenakan terhadap mereka,” tulis akhbar ini.

Difahamkan, laman web itu disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) atas kesalahan di bawah Seksyen 23, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana mengancam keselamatan negara.

“Selain itu, beberapa blog yang mengkritik perkembangan semasa negara turut tidak dikecualikan daripada dikenakan tindakan sama. Ini termasuklah beberapa blog pro pembangkang dan blog milik beberapa aktivis masyarakat.”

Begitu juga dengan laman web dikenali sebagai Religion Of  Peace telah disekat oleh kerajaan kerana menyiarkan isu sentimen kaitan Islam.

Sementara itu, laporan daripada hasil penyelidikan itu turut menyebut, laman web milik Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) yang telah disekat pada tahun lalu, bagaimanapun dibenarkan beroperasi semula.

SKMM dilaporkan telah menyekat 5,044 laman web melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, sejak 2015 sehingga Oktober lalu.

Daripada jumlah itu, 4,277 adalah laman web berunsur lucah, jelik dan mengancam keselamatan, manakala 767 lagi memaparkan unsur perjudian, pelacuran, penipuan, cetak rompak, produk palsu, ubat tidak berdaftar dan sebagainya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.