Jumaat, 23 Disember 2016

Kenapa pilih Wan Azizah, bukannya Azmin sebagai PM?

MALAYSIA TODAY


wan-azizah-azmin-ali
Kalau betul negara memerlukan seorang calon PM sementara, bukankah lebih wajar mencadangkan seorang yang betul-betul dapat memimpin, tetapi waktunya terhad seperti Tun Dr Mahathir Mohamad yang popularitinya hampir setara dengan Anwar?

Timmy Say, Free Malaysia Today

Permainan politik ke arah Pilihan Raya Umum ke-14 semakin hangat, terutamanya di pihak pembangkang.
Namun seperti biasa, sasaran permainan politik pembangkang bukanlah ke arah menyerang Umno-BN, sebaliknya ke arah menonjolkan diri dan mematikan langkah rakan sendiri.

Yang menariknya, cadangan dilontar pembangkang ke media kelihatan tidak dibincang terlebih dahulu semasa mereka sendiri. Mereka mengharapkan rakyat dan media akan menyambut cadangan tersebut lalu dibahas dan dihangatkan sebelum idea itu digunakan sebagai senjata untuk menekan sesama mereka sendiri.

Minggu ini terdapat 2 idea menarik. Idea pertama ialah lontaran daripada Pemuda PKR agar Amanah diserapkan ke dalam PKR. Idea kedua ialah pendedahan awal DAP yang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail diangkat sebagai calon perdana menteri sementara dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon timbalan perdana menteri sementara.

Bubar Amanah

Idea agar Amanah dibubar disambut hangat oleh media pro-pembangkang seperti Malaysiakini – yang terus-menerus membicarakan isu tersebut walaupun idea ini ditolak mentah-mentah oleh Amanah dan setiausaha agung PKR tanpa kajian mendalam.

Entah-entah idea itu ditolak bukan kerana ideanya, tetapi kerana siapa di belakang idea tersebut memandangkan pencadangnya, Timbalan Ketua Pemuda PKR, Dr Afif Bahardin dilihat adalah watak yang pro-Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Dari perspektif PKR, boleh difahami mengapa idea sebegitu terkeluar daripada sebahagian pemimpin mereka. Masih ingatkah insiden di mana DAP mendesak PKR agar Selangor dan Pulau Pinang membubarkan DUN untuk diadakan pilihan raya negeri? Amanah bertindak menyokong cadangan DAP tanpa mempedulikan kesulitan yang terpaksa dihadapi PKR.

Barangkali inilah yang menyebabkan ada sebahagian PKR yang merasakan Amanah tidak membawa sebarang nilai tambah kepada PKR, selain menjadi undi DAP kedua di dalam Pakatan Harapan untuk memaksa PKR akur kepada idea kontroversi. Bukan itu sahaja, Amanah sebenarnya juga menjadi masalah besar dalam rundingan mencapai persetujuan satu-lawan-satu antara parti-parti pembangkang dengan Umno-BN.

Calon PM

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mendedahkan Pakatan Harapan akan mengumumkan calon perdana menteri mereka tidak lama lagi.

Peliknya, Penasihat DAP, Lim Kit Siang terlebih dahulu mendedahkan calon perdana menteri sementara ialah Dr Wan Azizah, manakala calon timbalan perdana menteri sementara pula ialah Muhyiddin di dalam satu ceramah.

Apakah tujuan Kit Siang membuat pengumuman ini tanpa menunggu pengumuman rasmi seperti disebut Nurul Izzah tidak diketahui? Ada yang berbisik sesiapa pun calon PM Pakatan Harapan, DAP adalah de facto leadernya, dan apa yang dilakukan Kit Siang menguatkan bisikan ini.

Yang hairannya, mengapa Azmin tidak dipilih sebagai calon PM? Dengan memilih Azmin, sebenarnya tiada keperluan untuk mengangkat seorang calon PM sementara. Dr Wan Azizah ialah orang PKR, Azmin juga orang PKR, malah Azmin berpengalaman sebagai menteri besar Selangor.

Sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan selepas Pakatan Harapan menang di PRU14, beliau boleh dilantik sebagai penasihat perdana menteri, dan de facto leader kepada kerajaan Pakatan Harapan seperti struktur organisasi PKR yang jauh lebih berkuasa daripada mereka yang memegang jawatan.

Dalam keadaan itu, Azmin boleh terus berperanan sebagai PM tanpa perlu ditukar dan Anwar pula adalah de facto ketua kerajaan.

Kalau betul negara memerlukan seorang calon PM sementara, bukankah lebih wajar untuk mencadangkan seorang yang betul-betul dapat memimpin, tetapi waktunya terhad seperti Tun Dr Mahathir Mohamad yang popularitinya hampir setara dengan Anwar, jika kajian Persepsi Rakyat Selangor 2016 dijalankan Institut Darul Ehsan (IDE) dijadikan rujukan, walaupun agak janggal bagi IDE untuk tidak menyertakan nama Azmin dalam kajian populariti pemimpin yang dibuatnya.

Apakah penulis tersilap baca atau sememangnya ada perang sulit antara DAP dan Amanah dengan team Azmin di PKR?


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.