Selasa, 29 November 2016
Setelah dikurung tanpa bicara, Maria Chin terima ugutan peluru hidup pula
Roketkini.com
KUALA LUMPUR,: Setelah dikurung selama sepuluh hari tanpa bicara di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA), Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah menemukan sampul surat berisi peluru hidup dan ugutan bunuh di rumahnya pagi ini.
Maria yang hadir ke mahkamah untuk pendengaran permohonan habeas corpus-nya, membuka sampul kecil yang dikokot kelilingnya, berisi sebutir peluru berkaliber .45 automatik.
Peluru tersebut dihantar bersama beberapa helai kertas kosong, dan salah satunya bertulis ‘Last Warning If Not R.I.P Marina & Family’. (Amaran terakhir, jika tidak, RIP Marina dan Keluarga).
“Inilah jenis ancaman yang saya terima sebelum perhimpunan (Bersih 5),” katanya kepada media di luar kamar mahkamah sambil mempamerkan peluru tersebut.
“Tindakan sebegini mesti dikecam, dan saya harap tindakan akan diambil oleh pihak polis ke atas orang yang bertanggungjawab melakukan ancaman ini.” tegasnya.
Ini merupakan ugutan bunuh ketiga yang diterima oleh beliau dan keluarga, sejak kempen Bersih 5 bermula Oktober lalu.
Dua ugutan pertama berupa mesej dan gambar yang disunting, memaparkan Maria dan tiga anaknya dihukum bunuh ala pengganas Da’esh.
Menurut beliau, belum ada respon dari pihak polis sama ada mereka telah menemui pihak-pihak yang bertanggungjawab di sebalik ugutan bunuh terbabit.
Ibu kepada tiga anak itu dibebaskan daripada tahanan SOSMA tengah hari semalam setelah ditahan sehari sebelum berlangsungnya perhimpunan Bersih 5 19 November lalu.
Hakim Yang Arif Datuk Nordin Hassan enggan mendengar penghujahan peguam-peguam Maria tentang keabsahan tahanan beliau di bawah akta yang membenarkan tahan tanpa bicara tersebut memandangkan beliau telah bebas. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.