Oleh Azizul Osman
KUALA LUMPUR: PAS buat masa ini tidak dijemput untuk menyertai Kabinet
bayangan Pakatan Harapan (PH), kata Ketua Dewan Pemuda PAS, Nik Mohamad
Abduh Nik Aziz.
Pun begitu, Nik Abduh berkata PAS tidak fikir PH akan menjemput parti
itu untuk untuk menyertai Kabinet itu, sementelah tiada sebarang
kerjasama antara mereka kecuali dengan PKR.
Malah, kerjasama PAS dan PKR hanya melibatkan urusan pentadbiran dalam kerajaan negeri Selangor, ujar Nik Abduh.
"Tidak ada (jemputan untuk sertai Konvensyen PH) sebab tidak ada
hubungan (kerjasama). Kita tidak berhubung dengan Pakatan Harapan, hanya
mempunyai hubungan dengan PKR sahaja," katanya di lobi Parlimen hari
ini.
Setiausaha Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah sebelum ini berkata
senarai Kabinet bayangan akan dimuktamadkan pada konvensyen pertama PH,
12 November depan.
Nik Abduh bagaimanapun berkata, PAS belum membuat sebarang ketetapan
jika PH menjemput parti itu untuk turut serta dalam senarai tersebut.
"Kita tidak fikir lagi (untuk tolak sekiranya ada jemputan). Tawaran
itu tidak ada lagi sebab hubungan kita (hanya) dengan PKR. Jadi hubungan
berkaitan dengan DAP dan PAN (Amanah) itu kita tidak layan sebab sudah
putus hubungan dengan mereka.
"Saya tidak fikir begitu (PH akan jemput PAS sertai Kabinet bayangan PH)," katanya.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pada Pilihan Raya Umum ke 13
(PRU13) diletakkan selaku Timbalan Perdana Menteri 1 dalam Kabinet
bayangan Pakatan Rakyat (PR).
Sementara Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng memegang jawatan Timbalan
Perdana Menteri 2, dan Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian selaku Timbalan
Perdana Menteri 3.
PAS dalam Kabinet bayangan itu ditawarkan sembilan jawatan menteri penuh sementara 13 jawatan timbalan menteri.
PR kini sudah berkubur selepas PAS dan DAP bertegang urat perihal isu pelaksanaan hudud di Kelantan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.